Kenderaan elektrik lebih ‘laris’ menjelang 2035 nanti - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kenderaan elektrik lebih ‘laris’ menjelang 2035 nanti - Maybank IB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 April - Kenderaan elektrik (EV) mampu ‘mengejar’ jualan kenderaan konvensional di ASEAN menjelang tahun 2030 sekali gus dijangka mengungguli catatan jualan menjelang 2035. 

 

Menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB Research), kemasukan EV di ASEAN ketika ini pada kadar 4% bagi tahun 2020. 

 

Namun, berdasarkan sasaran pasaran masing-masing sebanyak 40 juta unit bagi segmen kenderaan empat tayar (4W) dan 220 juta unit bagi kenderaan 2 tayar (2W), penembusan EV dijangka berkembang lima kali ganda kepada 20% pada 2025.

 

Thailand, Indonesia dan Malaysia masing-masing mewakili segmen pasaran 4W ketiga terbesar di ASEAN dari segi jualan, dengan 75% penguasaan pasaran di samping menjadi hab pengeluaran di rantau ini.

 

Bagi segmen 2W pula, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia secara terkumpul memegang 99% penguasaan pasaran dari segi jualan.

 

Pengarah Bersekutu Maybank IB Research, Liaw Thong Jung berkata, Thailand, Indonesia dan Singapura terus berada di hadapan dari segi dasar pembangunan EV yang mesra. 

 

“Sementara itu, pengguna Malaysia lebih sensitif terhadap harga dan kenderaan pro kebangsaan, manakala (pengguna di) Filipina pula lebih memilih motosikal. 

 

“Subsidi bahan bakar di kedua-dua negara berkenaan juga menyumbang kepada pilihan pengguna lebih tinggi bagi kenderaan pembakaran enjin dalaman (ICEV).

 

“Kami menjangkakan penggunaan 2W yang lebih pantas berbanding 4W di ASEAN,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pendorong utama bagi EV di ASEAN termasuk penurunan kos, pilihan pengguna bagi gaya hidup lebih bersih dan hijau serta dasar kerajaan. 

 

Namun, pasaran automotif ASEAN masih lagi tertumpu kepada kenderaan konvensional dengan penggunaan EV masih di peringkat awal, pada kadar penembusan serendah 1%.

 

Sehubungan itu, Maybank IB melihat cabaran yang memperlahankan penerapan EV termasuk kemampuan pemilikan oleh pengguna, masa mengecas yang diperlukan, jarak antara pengecasan, kebergantungan dan kesediaan stesen pengecas serta kepelbagaian model EV.

 

Mewujudkan ‘rangkaian pengecasan awam’ merupakan salah satu langkah strategik pertama, namun aspek ini kekal sebagai cabaran buat Malaysia yang hanya mempunyai 421 pusat mengecas setakat Mac 2021 dan menyasarkan 125,000 menjelang 2030.

 

Maybank IB berpendapat, dasar kerajaan yang berbentuk insentif dapat menyokong pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kemampuan pemilikan EV. 

 

Mengulas mengenai Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Thong Jung melihat terdapat aspek positif seperti pelan untuk infrastruktur EV, menerapkan sistem elektrik dalam pengangkutan awam dan segmen 2W, levi bahan bakar (RM0.01 seliter) bagi pembelian petrol dan diesel, insentif atau penalti bagi pematuhan tahap pelepasan diesel.

 

“Oleh itu, dasar EV lebih cenderung ke aras Plug-in Hybrid EV (PHEV) dan bukannya Bateri EV (BEV). 

 

“Ini merencatkan tujuan meningkatkan skala infrastruktur EV di seluruh negara dan pelan nyah karbon.

 

“Pengguna cenderung untuk membeli PHEV sepenuhnya kerana tertarik terhadap harga lebih rendah berbanding disebabkan oleh alasan persekitaran,” tambahnya. 

 

Bagi meraih peluang EV, ASEAN wajar menarik pelaburan EV dari China dan kerjasama yang berpotensi. 

 

Ini susulan China mempunyai model EV terbukti dengan rantaian nilai lengkap serta syarikat EV yang terbukti. - DagangNews.com