Kepelbagaian eksport negara pacu prestasi dagangan  | DagangNews Skip to main content

Kepelbagaian eksport negara pacu prestasi dagangan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 April - Kepelbagaian eksport negara dan hubungan dagangan yang utuh banyak membantu prestasi dagangan Malaysia dalam mengharungi ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 dan ketegangan geopolitik.

 

UOB Global Economics & Markets Research berkata, momentum pemulihan eksport bergerak sejajar dengan jangkaannya disokong peningkatan permintaan global, kepelbagaian perdagangan berterusan, penggunaan teknologi global dan kesan asas yang baik. 

 

Pada masa sama, katanya, permintaan yang kembali meningkat, pemulihan pasaran buruh dan pelancaran vaksin COVID-19 akan memacu pertumbuhan pesat di Amerika Syarikat (AS) dan China, sekali gus merangsang permintaan global.

 

"Peningkatan penggunaan teknologi dan transformasi digital yang pantas akan meningkatkan permintaan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

 

"Di samping itu, langkah-langkah bagi mengekang penularan wabak ini dapat membantu merangsang permintaan luar bagi produk berkaitan perubatan dan getah," katanya dalam nota kajian. 

 

Firma itu mengekalkan unjuran ekport tahun ini berkembang 15%. 

 

 

Baca : Jumlah dagangan Mac melonjak 25.6% kepada RM185.7 bilion

 

 

Prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan, dengan eksport mencatatkan nilai bulanan tertinggi pada Mac 2021, meningkat 31% untuk melepasi RM100 bilion dengan angka RM104.95 bilion.

 

Ia merupakan paras tertinggi yang pernah direkodkan sejak Julai 2017.

 

Jumlah perdagangan Malaysia pada Mac 2021 berkembang 25.6% kepada RM185.74 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

 
Import pula menokok 19.2% kepada RM80.79 bilion, tertinggi sejak Oktober 2017. Ini membolehkan lebihan dagangan melonjak 96.1% kepada RM24.15 bilion.

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan prestasi eksport tahun ini akan berkembang 15% manakala import pula, 13%. 

 

"Kesan asas yang rendah, ekonomi global dan aktiviti dagangan yang bertambah baik, kenaikan harga semikonduktor dan komoditi akan menjadi pemangkin utama merangsang prestasi eksport," katanya. 

 

Namun, menurut firma itu, kemunculan varian baru COVID-19, pelancaran vaksin yang kurang berkesan dan ketegangan geopolitik boleh menjejaskan pemulihan pertumbuhan global. 

 

Berdasarkan prestasi eksport yang lebih baik pada suku pertama tahun ini, Kenanga Research menyemak semula unjurannya kepada 11.8% berbanding 6% sebelum ini. 

 

Jelasnya, pertumbuhan dagangan yang tinggi dijangka disokong oleh kesan asas yang rendah dalam tempoh terdekat dan juga pemulihan bagi permintaan luar. 

 

"Ini memandangkan sektor pembuatan semakin berkembang didorong peningkatan penggunaan teknologi, adaptasi 5G yang agresif dan harga komoditi semakin pulih di tengah-tengah pelancaran vaksin COVID-19 secara meluas di peringkat global," katanya.

 

Firma itu baru-baru ini turut menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 pada 6.5% berbanding 4.5% dengan mengambil kira pertumbuhan global yang beransur pulih.

 

"Tetapi, dalam masa sama, kami kekal berhati-hati dengan prospek pertumbuhan terutama penularan varian baru wabak ini boleh memperlahankan pemulihan ekonomi," tambahnya lagi. - DagangNews.com