Kepentingan Codex Alimentarius dalam keselamatan dan kualiti makanan negara | DagangNews Skip to main content

Kepentingan Codex Alimentarius dalam keselamatan dan kualiti makanan negara

Oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis

PERDAGANGAN makanan di arena antarabangsa telah wujud beribu-ribu tahun dahulu meskipun pada masa lampau makanan hanya dihasilkan, diedarkan dan dijual untuk kegunaan tempatan sahaja.

 

Sepanjang abad yang lalu, industri makanan telah berkembang dengan pesat di peringkat antarabangsa dengan pertambahan kuantiti dan pelbagai jenis makanan telah didagangkan ke serata dunia hari ini.

 

Suruhanjaya Codex Alimentarius merupakan badan yang ditubuhkan secara bersama-sama pada tahun 1960 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertujuan untuk membangunkan standard makanan di bawah Program Standard Makanan Bersama FAO/WHO.

 

Selaras dengan mandat Codex yang bertujuan melindungi kesihatan pengguna dan memudahcarakan amalan yang adil dalam perdagangan makanan, Malaysia terlibat secara aktif di dalam Codex yang mana setakat ini Suruhanjaya Codex Alimentarius mempunyai 189 Ahli terdiri daripada 188 Negara Ahli dan 1 Organisasi Ahli (Kesatuan Eropah).

 

Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis
  Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis

 

 

Malaysia secara aktif mengintegrasikan piawaian Codex Alimentarius ke dalam peraturan keselamatan makanan negara, seperti Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

 

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab untuk melaksanakan piawaian ini bagi memastikan penyelarasan dengan penanda aras antarabangsa untuk memudahkan perdagangan dan melindungi kesihatan pengguna.

 

Proses penerimaan ini melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkepentingan industri dan pengguna, mencerminkan komitmen Malaysia sejajar dengan norma keselamatan makanan global.

 

Sebagai perbandingan, negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah juga mengintegrasikan piawaian Codex ke dalam peraturan keselamatan makanan mereka tetapi pada tahap yang berbeza-beza.

 

Amerika Syarikat secara terpilih menerima pakai piawaian Codex yang sejajar dengan kepentingan negara, sering melaksanakan langkah-langkah yang lebih ketat, sementara EU secara meluas mengintegrasikan garis panduan Codex ke dalam rangka kerja perundangannya melalui agensi seperti Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah. Jepun, sama seperti Malaysia, menyelaraskan peraturannya dengan Codex semasa mempertimbangkan amalan tempatan dan tabiat pemakanan.

 

Secara keseluruhan, penggunaan piawaian Codex menyokong perlindungan perdagangan dan pengguna global, walaupun mengimbangi piawaian antarabangsa ini dengan keperluan tempatan tetap menjadi cabaran bagi banyak negara.

 

 

codex

 

 

Codex Alimentarius merupakan piawaian makanan antarabangsa, ia merangkumi garis panduan dan kod amalan yang menyumbang kepada keselamatan, kualiti dan kesaksamaan perdagangan makanan di peringkat antarabangsa.

 

Fungsi Codex Alimentarius juga adalah mengembangkan dan menerapkan standard dengan fungsi rujukan untuk perdagangan makanan antarabangsa dan objektif utama adalah untuk melindungi kesihatan pengguna serta memastikan amalan adil dalam perdagangan makanan antarabangsa.

 

Dengan adanya piawaian ini, pengguna mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap keselamatan dan kualiti produk makanan yang mereka beli dan pengimport makanan pula mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap makanan yang mereka pesan malah mengikut spesifikasi dyang ditetapkan.

 

Kebimbangan orang ramai mengenai isu keselamatan makanan sering meletakkan peranan Codex dalam perdebatan di peringkat global. Antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Codex iaitu dadah veterinar, racun perosak, aditif makanan dan bahan cemar makanan.

 

Piawaian Codex adalah berdasarkan fakta sains yang disediakan oleh badan penilaian/perundingan risiko antarabangsa yang bebas diselia oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Piawaian Codex berfungsi dalam banyak isu keselamatan makanan dan menjadi asas kepada perundangan makanan sesuatu negara serta rujukan yang dibuat kepada piawaian keselamatan makanan Codex dalam Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

 

Langkah-langkah kebersihan makanan dan fitosanitasi telah memberi maksud bahawa Codex sudah pergi jauh dalam menyelesaikan isu atau pertikaian dalam perdagangan makanan.

 

 

codex

 

 

Selain itu, ahli pertubuhan WTO yang ingin menerapkan langkah-langkah keselamatan makanan yang lebih ketat daripada yang telah ditetapkan oleh Codex, dikehendaki untuk membuat justifikasi secara saintifik.

 

Sejak penubuhannya pada tahun 1963, sistem Codex telah berkembang secara terbuka, telus dan inklusif untuk menghadapi cabaran keselamatan makanan yang datang.

 

Sesi ke-17 mesyuarat Jawatankuasa Codex mengenai Bahan Cemar dalam Makanan (CCCF17) telah diadakan di Panama City, pada 15-19 April 2024, telah dirasmikan oleh Presiden Republik Panama, Laurentino Cortizo Cohen.

 

 

panama

 

 

Sebelum ini, penulis mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-17 Mesyuarat Jawatankuasa Codex mengenai Bahan Cemar dalam Makanan (CCCF17) yang diadakan di Panama City baru-baru ini bagi membincangkan isu pencemaran dalam makanan.

 

Penulis juga adalah ahli Jawatankuasa Kecil Codex Kebangsaan (JKCK) Contaminants in Foods sejak tahun 2016. - DagangNews.com

 

 

Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis adalah pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM