KUALA LUMPUR 31 Okt. – Saranan Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Datuk Chang Kim Loong supaya kerajaan memansuhkan dasar pajakan tanah atau Skim Pajakan Persendirian (PLS), dikhuatiri mendatangkan impak buruk terhadap negara dalam jangka masa panjang.
Menerusi tulisannya dalam Edgeprop.my, Kim Loong mendakwa walaupun pajakan tanah dengan tempoh pajakan pendek adalah popular di negara yang terhad tanah sepeti Hong Kong dan Singapura, ia adalah berbeza dengan Malaysia yang memiliki banyak tanah.
“Oleh itu Kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan tanah di Medini dan Johor Bahru. Dasar PLS hanya mencetuskan banyak kekeliruan ke atas Pesuruhjaya Bangunan, bank-bank dan pasaran hartanah,” kata Kim Loong.
Pemerhati industri bagaimanapun agak hairan Kim Loong memberi tumpuan hanya kepada Johor, sedangkan pelaksanaan skim pajakan serupa turut diamalkan di negeri lain, termasuk Pulau Pinang.
Tidak berapa lama dahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dipetik sebagai berkata, beliau memberi jaminan kepada syarikat, terutama syarikat multinasional di negeri itu, bahawa pajakan tanah perindustrian masing-masing akan dilanjutkan.
Apa bezanya skim PLS di Johor dengan Pulau Pinang? Tiada beza. Malah secara umumnya, skim PLS di Malaysia ini hampir sama dengan skim pajakan tapak (ground rent atau peppercorn rent) di United Kingdom yang membenarkan tanah dipajak dan dimajukan sepanjang tempoh pajakan dan akan dikembalikan kepada pemilik setelah tempoh pajakan berakhir.
Secara ringkasnya, skim PLS hanyalah satu opsyen atau alternatif diwujudkan untuk membangunkan tanah. Ia bukan bertujuan menggantikan kaedah pembangunan konvensional sedia ada. Dalam perkataan lain, ia adalah opsyen yang dipilih oleh sektor swasta yang memiliki kapasiti, kemahuan dan pilihan untuk menyertai PLS menerusi kontrak sah.
Dalam konteks ini, terdapat beberapa perkara yang boleh dibahaskan mengenai pandangan Kim Loong ini.
- Kedaulatan Tanah Air – Di mana-mana negara di dunia, tidak ada kerajaan yang bersedia melepaskan hak milik tanah kepada orang asing. Malah ada kerajaan sanggup mengisytiharkan perang bila tanah diambil orang asing. Mengapa Malaysia wajar menjadi lain dari yang lain pula mesti melonggarkan peraturan supaya tanah boleh dijual beli kepada sesiapa juga?
- Kekal dalam tangan Malaysia – Dasar PLS memang diwujudkan sebagai kaedah memastikan tanah atau hartanah negara ini tidak dimiliki orang asing sewenang-wenangnya atau melampau. Dasar pembangunan ini harus juga memahami sentimen rakyat yang ramai tidak ada rumah apalagi tanah semata-mata kerana mereka miskin. Tetapi orang kaya, orang asing sesuka hati merampas tanah mereka?
- Pelaburan bertanggungjawab – Semua pihak mahukan pelaburan asing tetapi ia hendaklah mengikut standard amalan dunia iaitu mengikut peraturan, mengikut syarat dan had. Jika tanah sudah dimiliki orang asing, apa pula tuntutan selepas ini? Kewarganegaraan?
- Ketelusan – Siapakah dapat menjamin kemasukan dana membeli tanah itu datangnya dari sumber yang boleh disahkan, yang bukan duit daripada ekonomi gelap, disalur oleh sindiket yang akhirnya akan menjual semula aset itu kepada pembida tertinggi. Mahukah kita dimanupulasi sedemikan rupa?
- Tanah yang luas – Benar Malaysia masih memiliki tanah yang belum diteroka untuk pembangunan. Tetapi dasar pembangunan yang diamalkan kerajaan ialah pembangunan bersistematik. Tiada tanah saja-saja diteroka, hasil hutannya ditarah dan dijarah tanpa melibatkan kepentingan rakyat. Begitulah pembangunan tersasar seperti di Medini, Johor yang dirancang rapi memastikan masyarakat di sekitarnya mendapat manfaat sama.[FAR1] Apa erti tanah diteroka demi untuk memuaskan orang asing yang ada duit saja?
- Rumah jadi mahal – Hujah mengaitkan rumah pajak mendorong harga meningkat kerana berebut tanah pegangan bebas agak dangkal. Kenaikan harga ini diketahui umum didorong oleh spekulator dan pelabur berjangka pendek, bukan pembeli tulen yang mahu tinggal di sesuatu rumah.
- Kecekapan PLS – Berikutan kes tuntutan mahkamah membabitkan Tropika Istimewa iaitu subsidiari Mah Sing, ia memberi implikasi negatif terhadap PLS tetapi tidak bermakna dasar ini harus dimansuhkan sama sekali kerana jika berbuat demikian, tanah negara akan terdedah kepada risiko diambil orang asing. Apa yang diperlukan ialah mengemas kini PLS berdasarkan isu yang berbangkit.
- Perluasan PLS – Kelihatan ada satu macam usaha menggambarkan PLS ini satu kaedah yang merugikan rakyat. Dakwaan sedemikian adalah serong kerana matlamatnya mahu melindungi kepentingan rakyat Malaysia supaya tanah dan hartanah tidak dikuasai atau dibolot orang asing.
- Siapa sebenarnya menentang PLS? Rakyat atau pemaju? – Skim ini tidak begitu menarik bagi pelabur hartanah yang mencari keuntungan maksimum semata-mata. Mereka sebenarnya, ada ruang dan peluang yang lain dengan membabitkan diri memajukan hartanah yang tiada sekatan kepentingan di pasaran terbuka. Mereka boleh bersaing di pasaran terbuka dengan membeli dan memajukan tanah yang sedia ada di pasaran yang dilaporkan banyak terjual di pasaran.
- PLS kabur? – HBA membantah PLS untuk tujuan perumahan kerana tidak jelas dari segi tempoh klasifikasi tanah dan jenis pemilikan oleh pembeli. Bab ini boleh dihuraikan menerusi penerangan daripada pihak berkuasa berkaitan tetapi menolak mentah-mentah hanya membawa kepada pergeseran pendapat. - DagangNews.com