Keputusan kerajaan kekalkan tarif elektrik tidak beri kesan kepada operasi TNB | DagangNews Skip to main content

Keputusan kerajaan kekalkan tarif elektrik tidak beri kesan kepada operasi TNB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Keputusan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengekalkan tarif elektrik sehingga 31 Disember tahun ini tidak akan memberi kesan kepada operasi perniagaan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keputusan itu dibuat bagi menangani kos penjanaan tambahan berikutan kenaikan harga bahan api yang digunakan untuk bekalan elektrik dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

 

“TNB juga ingin memaklumkan bahawa kesan pelaksanaan ICPT adalah neutral dan tidak akan memberi kesan kepada operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya.

 

“Sehingga kini, kerajaan telah berjaya melaksanakan 20 kitaran ICPT sejak pengenalan mekanisme itu pada 2015,” katanya.

 

 

Pada 29 Jun 2024, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan pelaksanaan ICPT akan diteruskan bagi tempoh Julai hingga Disember 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung sehingga Disember 2024 - PETRA
 

 

Kementerian juga mengumumkan bahawa pengguna komersial dan industri akan mendapat pengurangan kadar ICPT sebanyak satu sen/kWj sehingga akhir tempoh tersebut.

 

Ia juga mengumumkan surcaj yang lebih rendah, sebanyak satu sen/kWj, bagi kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh yang sama supaya PBT dapat menyediakan perkhidmatan pencahayaan menyeluruh di kawasan awam.

 

Petra berkata, jumlah subsidi elektrik yang disasarkan bagi tempoh Julai hingga Disember 2024 adalah sebanyak RM2.192 bilion.- DagangNews.com