Reservoir Link Energy sempurnakan projek solar berjumlah 1.5GW sejak ceburi segmen RE pada 2021 | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link Energy sempurnakan projek solar berjumlah 1.5GW sejak ceburi segmen RE pada 2021

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - Reservoir Link Energy Bhd berjaya menyempurnakan projek solar berjumlah 1.5GW sejak menceburi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) pada 2021 menerusi pengambilalihan Founder Energy Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sehingga kini kumpulan itu telah menyiapkan projek solar berjumlah 1,513MW dengan 311MW diserahkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 diikuti penyiapan 924 MW dalam tempoh 18 bulan berikutnya dalam tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan 278 MW disempurnakan pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
 

Sejak itu, Reservoir Link Energy  telah mengembangkan portfolio projek solarnya dan mengukuhkan kehadiran di Malaysia sebagai antara penyedia perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPCC).

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, keberanian mereka meneroka bidang tenaga suria jelas memuaskan memandagkan trajektori pertumbuhan positif yang dialami daripada segmen itu dan ia melebihi jangkaan awal dan kini menjadi antara penyumbang hasil utama.

 

Beliau berkata, penyiapan projek solar sebanyak 1.5GW dalam tempoh singkat itu adalah bukti jelas dedikasi dan kepakaran yang tidak berbelah bahagi kumpulan dalam mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam ruang RE. 

 

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa ia hanyalah permulaan kepada perjalanan kami memandangkan penyenaraian Founder Energy di Nasdaq yang dijadualkan siap pada tahun ini.

 

"Kami teruja dengan propek masa depan kami dan akan terus melakar hala tuju yang lebih baik sejajar dengan penggunaan RE yang semakin meningkat selain mempercepatkan peralihan ke arah peralihan kepada tenaga bersih untuk masa depan yang lebih mampan," katanya.- DagangNews.com