Keputusan kewangan FY23 EcoWorld Malaysia atasi jangkaan Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Keputusan kewangan FY23 EcoWorld Malaysia atasi jangkaan Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Dis - Keputusan kewangan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (FY23) mengatasi jangkaan Kenanga Research terutama selepas berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM3.6 bilion.

 

Firma penyelidikan itu juga menaikkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY24 sebanyak 15% didorong margin keuntungan lebih baik.

 

"Margin keuntungan kumpulan dijangka lebih stabil dengan sokongan segmen lain. Sementara itu, kami memperkenalkan unjuran pendapatan FY25 sebanyak RM295 juta, yang menyaksikan pertumbuhan pendapatan sederhana sebanyak 3.4%.

 

"Ini mengandaikan kumpulan itu kekal konsisten dalam menyampaikan strategi pelancaran produk dan pengurusan kosnya, pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih hampir dua kali ganda sebanyak RM3.29 juta bagi suku keempat berakhir 31 Oktober 2023 (4QFY23), disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi dan keuntungan kasar.

 

Peningkatan 50.98% dalam hasil suku tahunan kepada RM844.45 juta didorong oleh penyempurnaan penjualan tanah seluas 32.7 hektar di Eco Business Park II.

 

Bagi FY23, keuntungan bersih kumpulan meningkat sebanyak 20.4% kepada RM189.3 juta, dengan jumlah hasil mencecah RM22.26 bilion.

 

Kenanga Research menyukai EcoWorld Malaysia kerana penjenamaan kukuh, produk berkualiti tinggi, nilai jualan semula yang kukuh dan reka bentuk kontemporari yang diterima baik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, maklum balas kumpulan yang kukuh dalam memenuhi keadaan pasaran dan portfolio produk yang sangat fleksibel menjadikannya saham yang menarik.

 

“Terdapat peluang baik untuk dividen istimewa berikutan dividen bergumpal RM214 juta daripada Eco World International Bhd (EWI).

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran RM1.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com