Keputusan kewangan KESM Industries bagi 1HFY23 berada dalam unjuran Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Keputusan kewangan KESM Industries bagi 1HFY23 berada dalam unjuran Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - Keputusan kewangan KESM Industries Berhad bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) mencapai unjuran Kenanga Research. 

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM3.8 jutabagi 1HFY23 kesan daripada prestasi lebih lemah pada 2QFY23 berikutan kawalan perkgerakan di China.

 

Katanya, hasil 1HFY23 adalah 18.2% lebih rendah berikutan pengurangan jumlah perkhidmatan pembakaran dan ujiannya serta kehilangan sumbangan daripada segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

 

Katanya, segmen itu dianggap tidak lagi menguntungkan kerana kos bahan yang tinggi.

 

"Bagaimanapun, dari suku tahun ke suku tahun, pendapatan 2QFY23 (November 2022-Januari 2023) kumpulan itu menunjukkan aliran 6.1% lebih tinggi walaupun terdapat sekatan penutupan di China serta cuti Tahun Baharu Cina pada Januari 2023.

 

BACA JUGA: KESM catat kerugian pada 1HFY23 berikutan pengujian cip baharu EV jejas output pengeluaran syarikat

 

"Perbelanjaan operasi lebih tinggi disebabkan oleh tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa pada 2023 serta peningkatan susut nilai untuk peralatan baharu," katanya.

 

Firma itu berkata, berikutan pemberhentian perniagaan EMS dan produk generasi lamanya, kumpulan itu menantikan peralihan cip baharu yang berkaitan kenderaan elektrik (EV).

 

Katanya, kumpulan itu telah melabur RM140 juta untuk peralatan baharu dan menjangkakan peningkatan secara beransur-ansur dalam jumlah pemuatan pada 2HFY23.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana menjadi proksi kepada prospek menjanjikan semikonduktor automotif, merupakan salah satu penyedia perkhidmatan burn-in dan ujian bebas terbesar di Malaysia yang berpotensi mendapat manfaat daripada pengembangan MNC di negara ini dan kehadiran fizikalnya di China pengembangan perniagaan semikonduktor.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dalam jangka masa terdekat kerana kumpulan masih berdepan potensi risiko volum pemuatan suboptimum semasa tempoh peralihan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran RM8.26 sesaham. - DagangNews.com