Kerajaan akan bina terowong SMART atasi banjir di Shah Alam - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan bina terowong SMART atasi banjir di Shah Alam - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk membina terowong SMART di kawasan kepadatan penduduk tinggi seperti Shah Alam selain membangunkan kawasan penempatan 'sponge city' seperti di China dalam usaha untuk mengatasi masalah banjir.

 

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir berkata, kerajaan juga bersetuju dengan beberapa cadangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) termasuk memberi tanggungjawab kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan saluran perparitan berada dalam keadaan baik selain mendalamkan serta melebarkan sungai-sungai utama termasuk meninggikan benteng dan ban sungai serta parit.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan membina lebih banyak tebatan banjir selain empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air selain mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda dan memindahkan kawasan kampung tepi sungai yang berisiko ke kawasan lebih tinggi.

 

"Kerajaan juga akan mengenalpasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam dan khemah.

 

"Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.

 

"Kerajaan juga bersetuju membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur selain mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

bah

 

Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat JPS selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV), menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang, mengawal penebangan hutan dan kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memberi fokus terhadap kawasan berisiko tinggi bagi melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir itu kerana ia memakan masa yang panjang selain peruntukan yang besar bagi penyelesaian komprehensif itu.

 

pm

 

Beliau berkata, bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

 

bah

 

"Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

 

"Masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat," katanya. - DagangNews.com