Kerajaan akan tingkatkan penyertaan minyak sawit di pasaran minyak makan global - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan tingkatkan penyertaan minyak sawit di pasaran minyak makan global - Zuraida

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kerajaan akan memanfaatkan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dengan meningkatan penyertaan minyak sawit dalam pasaran minyak makan global.

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain industri agrikomoditi beberapa hari lalu bagi membincangkan mengenai kenaikan harga pasaran.

 

"Pertemuan itu merangkumi pemain industri dari Mesir, India serta Bangladesh dan ia adalah sebahagian persediaan MPIC untuk berdepan situasi tidak menentu akibat krisis geopolitik yang melanda dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Buat masa sekarang, harga MSM mencecah RM8,000 bagi satu tan buat kali pertama pada hari Selasa lalu akibat berlakunya kekurangan minyak bunga matahari yang disebabkan krisis Rusia-Ukraine. 

 

Dagangan masa hadapan MSM untuk Mac meningkat RM712 kepada RM8,163 manakala kontrak dagangan April meningkat RM663 kepada RM7,435 dan kontrak bagi Mei meningkat RM463 kepada RM6,762.

 

Zuraida berkata, pertambahan pendapatan daripada kenaikan harga minyak sawit jelas membantu negara yang sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

Beliau juga mengingatkan, para pemain industri untuk mengambil peluang kenaikan harga itu bagi menaik taraf segala kemudahan untuk keguaan masa hadapan.

 

"Para pekebun kecil, saya menggesa mereka untuk menaik taraf pengurusan mereka dan mengambil peluang dengan kenaikan harga ini selain memberi fokus kepada simpanan mereka.

 

"MPIC bersama dengan agensi berkaitan memberi jaminan terhadap masa depan pekebun kecil dan semua pemain industri sawit negara," katanya.

 

Kajian mendapati, berlakunya pembelian panik dalam kalangan pengguna kerana kekurangan bekalan minyak makan di pasaran dari Ukraine dan ia dijangka pulih selepas keadaan beransur baik.

 

Dalam pada itu, Zuraida memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak bersubsidi adalah mencukupi untuk kegunaan pasaran tempatan.

 

"Kenaikan harga minyak itu mungkin berlaku di tempat lain dan kami faham dengan kebimbangan rakyat teruatama melibatkan golongan B40.

 

"Kami memberi jaminan bahawa bekalan adalah mencukupi untuk kegunaan semua rakyat di Malaysia," katanya. - DagangNews.com