KUALA LUMPUR 9 Sept - Kerajaan memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil kedua-dua negeri itu di Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata, ia antara isu dibangkitkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) kali ke-5 tahun 2022, semalam.
Beliau berkata, mesyuarat itu dihadiri secara maya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menteri-menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
"Perbincangan tertumpu kepada hal-hal berkaitan jumlah wakil Sabah dan Sarawak di Parlimen, pembangunan infrastrukur, ekonomi dan kesihatan.
"Kerajaan turut memberi komitmen terhadap pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang awal bulan hadapan.
"InsyaAllah, segala isu yang berbangkit di negeri-negeri Borneo ini akan diambil perhatian selaras dengan semangat Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com