Kerajaan beri RM5 juta dana pemula kepada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan beri RM5 juta dana pemula kepada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia - PM

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt.- Sejumlah RM5 juta diperuntukkan sebagai dana permulaan kepada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia sebagai keprihatinan, kepekaan dan komitmen berterusan kerajaan terhadap mahasiswa. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan itu adalah tanda sokongan kerajaan dalam memastikan kelangsungan operasi dan matlamat penubuhan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia tercapai. 

 

Menurut Perdana Menteri, yayasan yang berstatus badan rasmi peringkat nasional itu ditubuhkan di bawah Akta 268 dengan dikawal selia Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. 

 

Ismail Sabri memberitahu, badan itu akan bekerjasama dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan. 

 

"Saya ingin mengingatkan kepada agensi dan pihak terlibat, permudahkan dan percepatkanlah sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan dengna segera kepada mereka. 

 

"Melalui penubuhan yayasan ini, diharapkan pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kebajikan mahasiswa lebih bersepadu. 

 

"Yayasan ini wajar menjadi asbab bagi semua pihak untuk memberikan yang terbaik, ke arah menterjemahkan aspirasi konsep Keluarga Malaysia," katanya semasa majlis pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia secara maya, hari ini. 

 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penubuhan yayasan itu secara langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. 

 

Sebagaimana dalam sebuah keluarga, kata beliau, setiap ahli yang susah perlu dibantu bersama-sama dan nilai-nilai murni ini juga perlu diamalkan setiap mahasiswa. 

 

Perdana Menteri memaklumkan, setiap mahasiswa perlu melihat rakan-rakan sebagai sebuah keluarga besar yang saling memerlukan. 

 

"Sehubungan itu dengan tertubuhnya yayasan ini, tergalaslah amanah di bahu majlis perwakilan pelajar (MPP) khususnya dan di setiap mahasiswa amnya bagi memastikan tiada sebarang rakan yang memerlukan tercicir daripada dibantu. 

 

"Demi melaksanakan usaha murni ini, saya menyeru kesemua mahasiswa supaya menggenggam erat prinsip kebersamaan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum," jelas beliau.

 

Perdana Menteri berkata, sepanjang pandemik, kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada mahasiswa yang memerlukan dari semasa ke semasa termasuk Bantuan Pelan Data B40 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM24 juta yang memberi manfaat kepada lebih 300,000 mahasiswa. 

 

Selain itu katanya, Bantuan Peranti B40 juga diberikan secara bersasar kepada kepada hampir 9,000 mahasiswa dengan peruntukan berjumlah RM13 juta selainmoratorium Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam. 

 

Katanya lagi, kerajaan juga telah menyalurkan Sumbangan e-Tunai yang merangkumi mahasiswa berumur 18 hingga 20 tahun menerusi Program e-Belia. Kesemua bantuan itu menandakan kecaknaan berterusan kerajaan dan KPT dalam meringankan beban PdP warga kampus.-DagangNews.com