Kerajaan berisiko disaman jika GEG 2007 dilaksanakan - Peguam Kanan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan berisiko disaman jika GEG 2007 dilaksanakan - Peguam Kanan

Dalam hal cadangan GEG ini, hak generasi yang dilahirkan dari tahun 2007 telah didiskriminasi dan timbul persoalan kenapa ada perbezaan dengan generasi bawah umur yang dilahirkan antara 2005 dan 2006.
oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla

Kementerian Kesihatan Malaysia telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok di Parlimen baru-baru ini yang mengemukakan cadangan pelaksanaan generasi penamat atau Generational End Game (GEG) yang melarang individu dilahirkan selepas 2007 untuk memiliki, membeli mahupun merokok termasuk penggunaan vape.

 

Ia dikatakan satu langkah yang bertepatan dalam usaha negara mencapai negara bebas asap rokok dan melahirkan generasi masa depan yang tidak merokok.

 

Namun, sebagai seseorang yang berkecimpung dalam bidang perundangan, saya dapat melihat sedikit kepincangan dalam RUU yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mungkin boleh membawa usaha ini menemui kegagalan.

 

Kerajaan memang berhak untuk mewujudkan dua undang-undang berasingan untuk dua kelompok atau kumpulan individu yang berbeza. Tetapi dari segi Perlembagaan Persekutuan di mana hak kesemarataan diberikan kepada setiap individu di negara ini, sebarang layanan yang berbeza dan akan melihat diskriminasi yang berbentuk pengkelasan perlulah munasabah. Ia tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa alasan yang kukuh.

 

Dari segi ini, isu yang pertama adalah berkenaan larangan merokok kepada generasi yang dilahirkan selepas 2007. Untuk menghuraikan isu ini, kita perlu lihat dari segi tiga kumpulan individu apabila RUU ini diluluskan nanti.

 

Kumpulan pertama adalah mereka yang dilahirkan sebelum 2005. Kumpulan kedua pula adalah mereka yang dilahirkan antara 2005 dan 2006 manakala kumpulan ketiga adalah mereka yang dilahirkan dari 2007.


 

KJ
                             Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

 


Pada masa ini, kumpulan pertama telah mencapai usia dewasa dan tidak akan ada diskriminasi kepada kumpulan apabila RUU ini dibentangkan untuk diluluskan akhir tahun ini. Kumpulan kedua pula adalah mereka yang bukan dewasa pada masa ini dan tidak boleh merokok melainkan mereka mencapai umur dewasa 18 tahun.

 

Manakala kumpulan ketiga pada masa ini bukan dewasa dan tidak boleh merokok walaupun mereka akan mencapai umur dewasa pada masa akan datang.

 

Situasi yang perlu dilihat adalah hak antara kumpulan kedua dan ketiga di mana, apabila undang-undang ini dijangka dibentang untuk diluluskan akhir tahun ini dan kedua-dua kumpulan ini tidak boleh merokok mahupun vape kerana mereka masih di bawah umur.

 

Tetapi untuk kumpulan kedua itu, hak untuk memilih untuk merokok masih akan diberikan kepada mereka apabila mereka mencapai usia dewasa manakala untuk kumpulan ketiga, tiada hak akan diberikan untuk mereka walaupun mereka mencapai usia dewasa kelak.

 

DISKRIMINASI

Dari segi ini, pengkelasan untuk sesiapa dilahirkan selepas 2007 boleh disifatkan tidak munasabah kerana diskriminasi ini tidak dikenakan kepada semua yang di bawah umur pada masa ini. 

 

Dalam Perlembagaan Persekutuan, sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka dianiaya atau didiskriminasi boleh membawa tindakan dan pertikaian mereka ke mahkamah.

 

Dalam hal cadangan GEG ini, hak generasi yang dilahirkan dari tahun 2007 telah didiskriminasi dan timbul persoalan kenapa ada perbezaan dengan generasi bawah umur yang dilahirkan antara 2005 dan 2006.

 

Atas sebab ini, kerajaan kemungkinan besar berhadapan dengan risiko untuk disaman dan bantahan oleh golongan muda yang lahir dari tahun 2007 kelak apabila mereka mencapai usia dewasa 18 tahun, kerana RUU yang mengandungi GEG ini mewujudkan diskriminasi yang tidak munasabah kerana hak untuk memilih merokok masih diberikan kepada sesetengah golongan yang bawah umur pada masa ini apabila RUU tersebut dibentangkan untuk diluluskan akhir tahun nanti.

 

Walaubagaimanapun, jika kerajaan masih bertegas melaksanakan undang-undang seperti ini dan mewujudkan generasi bebas rokok, saya mencadangkan pelaksanaan ini dilakukan pada generasi yang belum wujud iaitu generasi yang lahir dari tahun 2023 dengan mengambil kira RUU ini diluluskan pada sesi Parlimen akan datang dan dilaksanakan mulai 1 Januari 2023.

 

Dengan cara ini, golongan yang dilahirkan selepas undang-undang GEG ini diluluskan, maka tiada locus standi untuk sesiapa pada masa ini untuk membawa apa-apa kes di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana undang-undang ini telah pun wujud sebelum golongan ini dilahirkan.

 

 

rokok

 


Generasi ini akan membesar dengan pengetahuan bahawa merokok itu adalah satu kesalahan dan jenayah.

 

Walaupun cadangan GEG ini adalah satu usaha yang mulia untuk menuju ke arah negara bebas rokok, perkara ini perlu diperhalusi dengan lebih mendalam lagi supaya matlamat negara bebas rokok ini dapat dicapai kelak sama ada melalui GEG atau perundangan dan polisi lain yang tidak boleh disifatkan oleh sesiapa sebagai diskriminasi. - DagangNews.com

 
 
Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Peguam Kanan, memiliki sebuah firma guaman berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia, sebuah badan profesional yang mengawal selia profesion peguam di Semenanjung Malaysia.