Kerajaan berjalan seperti biasa - Peguam Negara | DagangNews Skip to main content

Kerajaan berjalan seperti biasa - Peguam Negara

Muhyiddin Yassin

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berfungsi dan berjalan seperti biasa.

 

Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, kerajaan ketika ini tidak tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

 

"Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.

 

"Oleh itu, dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan," jelas kenyataan itu.

 

Kenyataan itu dibuat bagi merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

 

Baca: UMNO tarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

Kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. - DagangNews.com

 

.