Kerajaan boleh raih RM8.5 bilion hasil Cukai Makmur dari 120 syarikat besar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan boleh raih RM8.5 bilion hasil Cukai Makmur dari 120 syarikat besar

KUALA LUMPUR 3 Nov - Malaysia boleh mendapatkan semula hasil tambahan sekurang-kurangnya RM8.5 bilion melalui langkah cukai korporat Cukai Makmur, menurut Rakuten Trade Sdn Bhd.

 

Ketua Penyelidikan, Kenny Yee berkata, daripada pengiraan Rakuten, sekurang-kurangnya 120 syarikat akan dikenakan cukai di bawah Cukai Makmur, yang telah diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2022 pada Jumaat lepas.

 

“Saya fikir bagi konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), semua syarikat akan menerima impaknya.

 

“Pertama sekali, saya fikir (Cukai Makmur) perlu untuk membiayai beberapa inisiatif, memulihkan ekonomi dan membantu mereka yang terjejas oleh pandemik,” katanya dalam komentar Pasca Bajet 2022.

 

Di bawah Bajet 2022, kerajaan mencadangkan Cukai Makmur ke atas syarikat yang menjana pendapatan melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar 33% manakala kadar cukai 24% dikenakan untuk pendapatan bercukai kepada RM100 juta pertama bagi tahun taksiran 2022.

 

Yee berkata, Cukai Makmur telah menjadi satu kejutan yang besar kepada industri.

 

Bagaimanapun, katanya impak terhadap pasaran saham pada separuh pertama tahun depan adalah agak neutral.

 

“Kami akan menyemak semula unjuran indeks kami untuk tahun ini, daripada 1,650 kepada sekitar 1,630.

 

''Bagi tahun depan, saya fikir indeks akan diniagakan pada paras 1,750,” katanya, lapor Bernama. 

 

 

Kenny Yee
Kenny Yee

 

 

Sementara itu, Yee menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,530 hingga 1,580 minggu depan berikutan turun naik pasaran yang meningkat.

 

Mengenai nilai ambang untuk levi keuntungan luar biasa minyak sawit sebanyak 3% di seluruh negara, katanya ia akan menjadi musim bumper untuk pekebun pada tahun ini.

 

“Saya telah membaca artikel itu. Saya rasa sebahagian pekebun tidak berpuas hati mengenainya manakala mereka yang berada di Semenanjung Malaysia bersikap neutral.

 

“Bagaimanapun, jika anda melihat kepada harga minyak sawit mentah, ia telah meningkat kepada paras tertinggi, hampir RM5,500 satu tan pada masa ini,” katanya.

 

Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar levi keuntungan luar biasa untuk pekebun daripada 1.5% kepada 3% di bawah Bajet 2022.

 

Kerajaan turut mencadangkan untuk menaikkan nilai ambang untuk levi keuntungan luar biasa bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,500 daripada RM3,000 satu tan tahun depan — bersama dengan kenaikan kepada RM3,000 daripada RM2,500 untuk syarikat kelapa sawit di Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com