Kerajaan Brunei: Tiada syarikat dilantik untuk Kereta Api Trans Borneo | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Brunei: Tiada syarikat dilantik untuk Kereta Api Trans Borneo

BANDAR SERI BEGAWAN 5 April - Kerajaan Brunei tidak menawarkan atau melantik mana-mana syarikat tempatan atau asing untuk menjalankan projek Kereta Api Trans Borneo, menurut satu kenyataan rasmi.

 

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan itu berkata, tiada perbincangan mengenai projek itu di peringkat kerajaan, termasuk antara negeri dan pihak berkepentingan yang berkaitan, lapor Xinhua.

 

"Bagi projek yang berskala seperti itu, sudah pasti ia memerlukan komitmen daripada setiap kerajaan terlebih dahulu," kata kementerian itu.


Kenyataan itu dibuat sebagai tindak balas kepada isu berkaitan projek itu.

 

 

trans
Lakaran peta kononnya jajaran Keretapi Trans Borneo

 

 

Minggu lepas, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke menyatakan projek Kereta Api Trans Borneo tersebut, masih sekadar cadangan dan belum ditawarkan kepada mana-mana syarikat.

 

Beliau menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan sebarang pengumuman syarikat swasta berhubung projek besar, sambil menambah bahawa sebarang projek mega hanya dianggap sah jika kerajaan mengumumkannya.

 

“Jika mereka (syarikat swasta dari Brunei) mengatakan mahu membina landasan kereta api di Sabah dan Sarawak, sudah tentu mereka memerlukan kelulusan daripada kerajaan Malaysia serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. Setakat ini, belum ada kelulusan sedemikian, dan kami tidak pernah berunding dengan syarikat ini.- DagangNews.com