Kerajaan digesa gubal Akta Sabotaj Ekonomi kekang tindakan pihak tertentu rosakkan ekonomi negara - SAMENTA | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa gubal Akta Sabotaj Ekonomi kekang tindakan pihak tertentu rosakkan ekonomi negara - SAMENTA

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 April - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa pihak kerajaan untuk menggubal Akta Sabotaj Ekonomi bagi mengekang tindakan sesetengah pihak termasuk ahli politik yang mengakibatkan kerosakan kekal kepada ekonomi negara.

 

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, Akta Sabotaj Ekonomi pernah dicadangkan Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Kebangsaan pada 2018 bagi menangani penyalahgunaan kontrak kerajaan selain membendung fenomena ‘Ali Baba’. 

 

Bagaimanapun, perubahan kerajaan dan pandemik COVID-19, akta yang dicadangkan itu tidak dapat dibentangkan.

 

"Melihat kepada peningkatan serangan bom petrol baru-baru ini selain boikot terancang ke atas perniagaan tertentu, akta tersebut boleh digunakan ke atas perbuatan individu dan organisasi yang menganjur atau menjalankan tindakan sabotaj ke atas perniagaan.

 

"Akta ini seharusnya memperuntukkan hukuman penjara setara dengan kesan jangka panjang tindakan sedemikian kepada ekonomi serta kehidupan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

 

Pada 16 Mac, pengurusan KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'Allah', di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

 

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

 

Bagaimanapun, orang Islam menyatakan kemarahan di atas kejadian tersebut dan menggesa pihak berkuasa bertindak tegas ke atas pihak yang terlibat selain terdapat gesaan memboikot syarikat tersebut. 

 


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menjelaskan bahawa kempen boikot KK Mart yang sedang dijalankan adalah untuk memelihara maruah dan kesucian agama Islam.

 

Katanya, kempen menyedarkan perlu ada tekanan keras untuk memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang mempermainkan agama Islam.


 

Baru-baru ini terdapat kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu lalu di Kuantan, Pahang, dibaling dengan bom petrol menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.

 

Susulan kejadian itu, empat rak jualan dalam premis termasuk beberapa barang jualan mengalami sedikit kerosakan akibat terkena percikan api.

 

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan pihak yang menyeru boikot terhadap kedai serbaneka KK Mart supaya meredakan keadaan dan menghentikan hasutan yang membakar sentimen orang ramai.

 

Beliau berkata, tindakan menggesa dan mendorong orang ramai memboikot sesuatu jenama mungkin bukan satu kesalahan undang-undang tetapi adalah jelas menjadi suatu kesalahan apabila orang ramai bertindak menceroboh atau cuba membakar premis KK Mart.

 

William berkata, undang-undang sedia ada tidak memperuntukan hukuman boikot terancang dan tidak mengenakan sebarang tindakan kepada penganjur boikot.

 

Katanya, ia secara tidak langsung membolehkan pelaku, termasuk ahli politik, untuk terus berbuat demikian tanpa dikenakan sebarang hukuman.

 

"Keadaan itu membuatkan perniagaan terlibat mengalami kerugian besar selain pekerja hilang mata pencarian selain kedudukan Malaysia sebagai negara sebagai destinasi pelaburan terjejas teruk," katanya. - DagangNews.com