Kerajaan digesa tubuhkan panel pakar bebas pantau projek MRT3 - Transparency International Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa tubuhkan panel pakar bebas pantau projek MRT3 - Transparency International Malaysia

Gambar hiasan MRT Corp

KUALA LUMPUR 19 Sept - Transparency International (TI) Malaysia menyeru kerajaan menubuhkan panel pakar bebas bagi memantau penyampaian kontrak berkaitan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

 

Polisi pakatan integriti yang diamalkan di Malaysia ketika ini hanyalah "beberapa dokumen tambahan" yang perlu ditandatangani antara agensi kontraktor dan kontraktor, kata badan pemerhati antirasuah itu dalam satu kenyataan. 

 

Pelaksanaan itu tidak mempunyai mekanisme pemantauan bebas, kata kenyataan TI Malaysia itu.

 

Menurut pertubuhan itu, apa yang diperlukan ialah perjanjian tiga pihak dengan pasukan pakar teknikal di luar kerajaan untuk memantau dan melaporkan secara terbuka kemajuan dan kualiti penyampaian projek. 

 

"Ini amat relevan untuk projek mega dan projek yang mempunyai kepentingan awam," kata TI Malaysia.

 

Syor itu dibuat ketika kerajaan memulakan cadangan fasa ketiga projek yang juga dikenali sebagai Laluan Lingkaran MRT3. 

 

Anggaran kos telah dikurangkan kepada RM45 bilion daripada RM68 bilion tetapi masih kekal antara yang terbesar seumpamanya di negara ini.

 

Fasa pembinaan MRT3 dijangka bermula pada tahun 2026 dan disasarkan siap pada 2032 yang melibatkan jajaran sejauh 51 kilometer.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelaksanaan semula MRT 3, projek infrastruktur mega dijangka rangsang sektor pembinaan pada FY25, kata CGS International

 

Polisi Pakatan Integriti telah dibangunkan pada tahun 1990-an oleh bahagian global Transparency International sebagai mekanisme untuk membantu mencegah rasuah dalam kontrak awam.

 

Ia telah diperkenalkan di Malaysia melalui pekeliling oleh Kementerian Kewangan pada 2010 dengan pelbagai entiti swasta dan awam menandatangani pakatan itu sejak itu.

 

"Bagaimanapun, rekod prestasi kita jauh daripada memuaskan," kata TI Malaysia merujuk skandal yang melibatkan syarikat kerajaan termasuk perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

 

TI Malaysia kini menggesa Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Tadbir Urus Negara bertemu masyarakat sivil dan pakar dari badan profesional, dewan perniagaan dan ahli akademik untuk menubuhkan pemantau pakar bebas untuk mengawasi penyampaian projek MRT3.

 

"Untuk hasil terbaik, perundingan harus dimulakan sebelum dokumen tender dimuktamadkan dan ditetapkan," kata pertubuhan pemerhati anti rasuah itu. 

 

"Menggunakan alat Pakatan Integriti dalam bentuk yang betul lengkap dengan pemantauan pihak ketiga luaran pasti akan membantu untuk membuat perbezaan yang betul," kata kenyataan itu. - DagangNews.com