KETIKA ini, jumlah hutang negara yang sangat tinggi menyebabkan negara tidak lagi mampu memperuntukkan jumlah belanjawan besar dalam sektor kebajikan masyarakat kerana majoriti belanjawan negara digunakan bagi mengurangkan hutang dan membayar kadar faedah yang tinggi.
Justeru, terdapat bayangan tentang hasrat kerajaan untuk mereformasikan sistem kewangan persaraan sedia ada di Malaysia agar dana-dana tersebut menjadi semakin kukuh dan pada masa yang sama wujud peluang simpanan persaraan kepada keseluruhan penduduk Malaysia.
Dana Persaraan Rakyat
Malaysia mempunyai sistem pengurusan dana persaraan antara yang terbaik di dunia. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan pada 1951, pernah menjadi tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia.
Namun, akibat pandemik COVID terdapat desakan pengeluaran dana oleh pencarum yang mempengaruhi jumlah simpanan KWSP. Pengeluaran awal caruman akan mempengaruhi simpanan persaraan di masa depan.
Selain itu, menyedari hampir 71 peratus rakyat Malaysia yang melewati 60 tahun tiada dana persaraan, PMX membayangkan satu pelan reformasi dana persaraan perlu dirangka untuk memasukkan kumpulan ini dalam sistem keselamatan sosial yang lebih holistik.
Dalam penulisan ini dicadangkan penubuhan satu dana persaraan rakyat yang bersifat dana kewangan dan keselamatan sosial.
Caruman harus bermula dengan tawaran diberikan kepada golongan muda yang bakal memasuki alam pekerjaan, individu tidak bekerja, bersifat sukarela dan tidak membebankan rakyat.
Setiap individu yang melepasi umur 20 tahun layak untuk mendaftarkan diri dalam skim ini dengan kadar caruman bulanan minimum RM50 sebulan.
Dengan waktu persaraan ditetapkan pada 60 tahun, deposit pendaftaran awal sebanyak RM100, caruman minimum tahunan sebanyak RM600, keuntungan simpanan pada kadar 6 peratus setahun, simpanan tanpa pengeluaran selama 40 tahun ini dijangka membentuk hampir RM100,000 dana persaraan ketika tiba waktu bersara.
Dengan andaian penetapan kadar yang sama seperti di atas. Simpanan RM100,000 boleh dijadikan pencen bernilai RM613 sebulan untuk tempoh selama 25 tahun.
Ketika ini bantuan warga emas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah sebanyak RM500. Kadar tersebut sudah beberapa kali dinaikkan dan pada tahun 1992 nilai bantuan adalah RM70.
Mengunakan peraturan 72 dan penetapan kadar inflasi 3 peratus setahun, nilai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2050 berjumlah RM1,078 sebulan.
Walaupun RM613 bukan jumlah yang besar dan mengcukupi, paling tidak kerajaan hanya perlu menambah RM465 bagi menyamai nilai bantuan kewangan oleh kerajaan.
Malah, jika berlaku kemalangan dan dipaksa bersara awal, skim persaraan yang baru ini boleh menyediakan satu jumlah bayaran ilat kemalangan kepada peserta.
Malah dicadangkan, satu kadar pelepasan cukai diberikan ke atas caruman sukarela oleh ketua isirumah yang bekerja dan mempunyai kewangan yang lebih kepada isteri yang tidak bekerja, anak kurang upaya, anak yang bekerja sendiri, paling tidak akan menyediakan satu simpanan persaraan kepada mereka.
Dana simpanan yang tersedia boleh dijadikan deposit cagaran kepada pinjaman perumahan.
Dana persaraan ini dicadangkan menerima suntikan caruman mandatori satu peratus (1%) ke atas keuntungan tahunan oleh operasi perniagaan GLC.
Suntikan dana GLC boleh digunakan sebagai dana sokongan kepada simpanan peserta yang bersara awal akibat peristiwa yang tidak diingini.
Dana Waqf Madani
Pada satu ketika, 1/3 kekayaan di dalam empayar Turki Uthmaniyah dimiliki oleh institusi Waqf dan harta waqf tersebut terletak di sekeliling kawasan masjid, kawasan ladang dan kebun-kebun bernilai tinggi.
Budaya yang sama seharusnya diamalkan oleh masyarakat Malaysia kerana kekayaan harta waqf adalah salah satu instrumen kewangan sosial yang boleh mengurangkan perbelanjaan negara khususnya dalam sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat miskin.
Perancangan kewangan Islam menumpukan aspek pengagihan kekayaan individu melalui instrumen kewangan sosial sebagai satu amalan yang baik dan berterusan.
Aktiviti kewangan sosial merangkumi zakat, infa’, sedeqah, waqf, hadiah, hibah dan qardhul hasan. Kesedaran kepada manfaat yang diperolehi dari aktiviti sosial tersebut sebagai bekalan penting menuju alam akhirat.
Pengumuman Dana Waqf Madani berjumlah RM1 bilion oleh PMX di dalam belanjawan 2024 seharusnya disambut dengan penubuhan sebuah agensi khas yang mengurus dana tersebut sebagai modal qardhul hasan kepada pelbagai projek masyarakat seperti membaiki tandas masjid dan awam, jambatan rosak, pendingin hawa sekolah dan jalan yang rosak.
Melalui keadah pembiayai Qardulhasan Bilwaqf Al-Ajil (QBA), Dana Waqf Madani boleh dijadikan dana pinjaman tanpa faedah bagi mengurus kesan inflasi, ditebus oleh waqf tertangguh oleh peserta waqf dan bersifat keabadian (perpuity).
Sebuah projek membaiki tandas rosak yang bernilai RM30,000 boleh dibiayai oleh 150 lot waqf bernilai RM200 seunit dan dibayar RM20 sebulan selama 10 bulan.
Kaedah pembiayaian QBA boleh membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan.
Dahulunya, dana untuk membaiki prasarana sekolah dianggarkan berjumlah RM1 bilion setahun untuk keperluan lebih 8,800 sekolah di seluruh Malaysia tetapi ia tidak mencukupi, sehinggalah PMX mengumumkan satu belanjawan khas untuk membaiki 8,354 tandas sekolah yang bernilai RM70,000 satu sekolah pada belanjawan 2023.
Secara rasional, seorang yang diberikan pekerjaan yang tetap dan stabil oleh pihak kerajaan seharusnya mampu menyediakan RM20 sebulan bagi membiayai kos memperbaiki kerosakan tandas rosak yang digunakan oleh mereka sendiri.
Melalui inovasi aplikasi digital, kaedah membayar balik RM20 sebulan untuk projek membaiki kerosakan prasarana awam seperti tandas sekolah, klinik kerajaan dan jambatan rosak boleh dilaksanakan.
Bayangkan sebuah sekolah menengah yang mempunyai alumni berjumlah 5,000 pelajar menyediakan waqf bulan sebanyak RM20 sebulan.
Dengan anggaran 10 peratus pelajar bersetuju menyumbang RM20 kepada dana alumni sekolah, sebanyak RM120,000 setahun boleh dikumpul untuk projek mengindahkan bilik kelas dan guru, smart TV dan penghawa dingin kelas untuk keperluan pelajar dan pendidik.
Tidak membebankan jika seorang warganegara yang berkemampuan menyumbang kembali RM60 sebulan (RM20 untuk sekolah rendah, RM20 untuk sekolah menengah dan RM20 untuk pusat pendidikan tinggi) untuk mengenang jasa negara yang selama ini menyediakan pendidikan percuma kepada mereka.
Dana Waqf Madani sebenarnya selari dengan output Madani Malaysia oleh PMX iaitu melahirkan masyarakat malaysia yang mampan, sejahtera, makmur dan bersatu padu.
Dana tersebut juga boleh digunakan untuk membiayai pembinaan pusat kediaman bagi warga emas di seluruh negara. Manakala, Dana Persaraan membantu kerajaan mengurangkan beban menyediakan bantuan kewangan tunai kepada warga emas dsan golongan tidak bernasib baik.
Malaysia Madani adalah satu inisiatif sebuah masyarakat rahmah yang mengajak rakyat bersama negara untuk membina kemakmuran bersama. - DagangNews.com