Kerajaan fokus pemerkasaan ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

Kerajaan fokus pemerkasaan ekonomi digital

Kerajaan fokus pemerkasaan ekonomi digital

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac. - Kerajaan akan memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi digital dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di negara ini. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

 

"Sehubungan itu, saya telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital pada 19 Februari yang lalu. Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing dalam era digital ini. 

 

"Berdasarkan Laporan International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness Ranking 2020, daripada 63 buah negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 dengan skor 82.39%.

 

"Manakala dari aspek kreativiti dan inovasi, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 190 ekonomi Rantau Asia Timur dan Pasifik dengan skor 81.5 dalam World Bank’s Doing Business 2020," katanya dalam ucapan Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin hari ini.

 

Mengulas berkaitan pelaburan, beliau memberitahu, inisiatif MyDigital berpotensi menarik pelaburan yang dianggarkan bernilai RM70 bilion dan  pasti akan meningkatkan daya saing negara.

 

Potensti tersebut menjadi antara pemangkin utama pemulihan ekonomi negara dan penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat.

 

Tambah beliau, kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu rakyat.

 

Pelan tindakan yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (Jendela) itu akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12. 

 

"Pelaksanaan Jendela diharapkan dapat menyediakan penyelesaian kepada masalah capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak.

 

"Kerajaan juga telah meluluskan sebanyak 128 projek ICT dan pendigitalan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion dengan peruntukan tahun 2021 sebanyak RM538.7 juta.

 

"Projek-projek yang diluluskan tersebut meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaiktaraf kelengkapan ICT di institut latihan," ujarnya lagi. - DagangNews.com