Kerajaan gubal Akta Kredit Pengguna untuk kawal selia penyedia perkhidmatan kredit | DagangNews Skip to main content

Kerajaan gubal Akta Kredit Pengguna untuk kawal selia penyedia perkhidmatan kredit

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kerajaan sedang menggubal Akta Kredit Pengguna (Consumer Credit Act, CCA) bagi memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia. 

 

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, CCA akan menyediakan rangka kerja komprehensif untuk mengawal selia amalan entiti yang menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan kredit kepada pengguna dengan tumpuan khas kepada entiti yang tidak dikawal selia.

 

Katanya, liputan CCA yang dicadangkan termasuk kawal selia bentuk kredit baharu seperti penyedia perkhidmatan "Beli Sekarang Bayar Kemudian”. 

 

"CCA akan membuka jalan kepada penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (Consumer Credit Oversight Board, CCOB) sebagai pihak berkuasa bebas yang memantau penyedia kredit pengguna dan penyedia perkhidmatan kredit," katanya.

 

Katanya, perundingan awam itu merupakan bahagian pertama daripada dua bahagian perundingan dengan bahagian pertama memberikan gambaran keseluruhan berhubung dengan landskap semasa industri kredit pengguna di Malaysia, cabaran serta cadangan pembaharuan untuk meningkatkan perlindungan terhadap individu dan perniagaan kecil.

 

Pembaharuan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkatseperti yang dicadangkan untuk menyediakan standard perlindungan yang konsisten kepada pengguna kredit dan menyokong pembangunan industri kredit yang teratur di Malaysia.

 

"Pasukan Petugas CCOB ingin mendapatkan maklum balas tentang rangka kerja kawal selia dan kuasa yang dicadangkan serta bidang-bidang yang akan terangkum dalam perundangan tersebut," katanya.

 

Perundingan awam itu akan disusuli oleh Bahagian Kedua kertas perundingan yang dijadualkan penerbitannya pada suku keempat tahun 2022. 

 

Bahagian kedua akan memberikan butiran lanjut tentang pemberikuasaan, tadbir urus dan keperluan amalan yang akan diguna pakai ke atas penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit.

 

Kertas perundingan awam tersebut boleh dimuat turun melalui laman web CCOB, www.ccob.my. Laman sesawang itu merupakan pusat rujukan sehenti untuk semua pihak berkepentingan yang ingin mendapatkan maklumat dan makluman terkini yang  berkaitan dengan CCA dan CCOB.

 

Orang ramai yang berminat diundang untuk memberikan maklum balas dan ulasan mengenai kertas perundingan tersebut kepada CCOB selewat-lewatnya pada Isnin, 5 September 2022 dengan menghantarkan e-mel kepada CCAConsultation@bnm.gov.my. - DagangNews.com