Kerajaan jamin kontraktor tempatan berkelayakan dapat peluang projek pembangunan negara - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan jamin kontraktor tempatan berkelayakan dapat peluang projek pembangunan negara - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan memberi jaminan bahawa kontraktor tempatan yang berkelayakan akan mendapat peluang sebaiknya untuk membangunkan projek-projek pembangunan negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, ini terbukti melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM95 bilion menerusi Bajet 2023, yang tertinggi dalam sejarah merangkumi sejumlah 7,615 projek pembangunan.

 

Beliau berkata, kerajaan yang beliau pimpin hari ini sentiasa mengutamakan pembangunan infrastruktur untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia, selain menepis pelbagai tuduhan dilemparkan kononnya DE yang besar ini akan menguntungkan pihak tertentu sahaja.

 

"Selain itu, Bajet 2023 turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk golongan kontraktor seperti peruntukan sebanyak RM500 juta khusus kepada kontraktor kelas G1 hingga G4, antaranya bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi jalan persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir. 

 

"Bagi menyokong kontraktor Bumiputera, kerajaan juga akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan dana sebanyak RM20 juta. 

 

"Sebanyak RM50 juta nilai projek-projek kecil akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4 menerusi inisiatif Kontraktornita bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita Bumiputera dalam perolehan kerajaan. 

 

"Namun kesemua ini akan hanya dinikmati sekiranya Bajet 2023 ini dibentangkan kembali dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15. Maknanya kerajaan hari ini perlu dipilih kembali untuk menerajui negara," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kontraktor Melayu 3.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-43 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan menyedari dalam suasana ekonomi yang begitu mencabar, tidak ramai kontraktor yang sanggup terlibat dalam projek- projek perumahan kos rendah yang kurang memberi pulangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barangan bahan binaan yang masih tidak menentu. 

 

Berikutan keadaan ekonomi yang sudah memasuki fasa pemulihan, beliau berharap PKMM akan mendapat manfaat termasuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur baru atau yang disambung semula selepas pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi sebelum ini. 

 

"Saya percaya peruntukan ini bukan sahaja menjadi pelaburan jangka masa panjang untuk menghidupkan kembali pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga akan merancakkan semula pelaksanaan projek khususnya bagi kontraktor kecil dan sederhana. 

 

"Namun begitu, saya berharap semua kontraktor yang terlibat dalam projek-projek kerajaan dapat menunjukkan prestasi yang terbaik daripada segi kualiti, produktiviti dan profesionalisme serta menyiapkan projek mengikut waktu yang ditetapkan. 

 

"Saya percaya, kontraktor Bumiputera terus berusaha dan menitik beratkan sifat kreatif dan berdaya saing akan berupaya memperoleh manfaat serta mampu mengadaptasikan diri dengan norma baharu yang penuh cabaran," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik Kementerian Kerja Raya menunjukkan industri pembinaan dianggarkan mengalami kerugian lebih RM42 bilion sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini pada 18 Mac 2020. 

 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun hingga September 2021. 

 

"Kesan daripada pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP, sektor pembinaan turut mengalami penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4% pada 2020. Pada suku pertama tahun 2021, sektor pembinaan terus menurun pada kadar 10.4%. 

 

"Alhamdulillah, angka itu meningkat pada kadar 40.3% pada suku kedua 2021 dan terus meningkat sehingga kini.

 

"Meskipun berdepan pelbagai kesukaran susulan pandemik COVID- 19, saya amat berterima kasih kepada PKMM yang sentiasa setia membantu kerajaan dalam melaksanakan projek-projek infrastruktur terutamanya yang melibatkan kemudahan perumahan khusus kepada rakyat berpendapatan rendah," katanya. - DagangNews.com