Kerajaan jangan berkira jika serius sekat pencerobohan nelayan asing kaut jutaan ringgit hasil negara | DagangNews Skip to main content

Kerajaan jangan berkira jika serius sekat pencerobohan nelayan asing kaut jutaan ringgit hasil negara

Bot nelayan asing yang dikesan menceroboh perairan negara dekat perairan Pulau Perak.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Tidak ada cara lain, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan lebih besar untuk menangani isu pencerobohan nelayan asing yang merompak hasil laut negara sehingga kerugian ratusan juta ringgit.

 

Terbaru, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu negara kerugian RM823.88 juta akibat aktiviti nelayan asing.

 

Angka tersebut berdasarkan rekod operasi Jabatan Perikanan Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin untuk tempoh 2020 hingga 2023.

 

Ini melibatkan sebanyak 428 kes direkodkan oleh kesemua agensi terbabit.

 

Nelayan
Sebuah bot nelayan asing yang ditahan merompak hasil laut negara.

 

Nelayan
Rompakan hasil laut menyebabkan negara kerugian jutaan ringgit.

 

Secara kiraan kasar rompakan hasil laut negara ini menyebabkan kerugian kira-kira RM274.6 juta setahun.

 

Di atas kertas, nilai RM823.88 juta ini sangat besar yang jika diterjemahkan dalam bentuk pendapatan negara banyak perkara boleh digunakan dengan jumlah sedemikian.

 

Pastinya ini bukanlah angka sebenar nilai kerugian kepada negara kerana ia tidak termasuk hasil rompakan laut yang telah berjaya dibawa keluar.

 

Pencerobohan nelayan asing merupakan isu serius yang boleh menjejaskan kelestarian sumber daya perikanan tempatan serta mata pencarian nelayan.

 

Kerajaan sejak dahulu memandang serius isu pencerobohan melibatkan aktiviti-aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh kapal nelayan asing di perairan negara.

 

Nelayan
Anggota APMM melakukan pemeriksaan sebuah bot nelayan asing.

 

Walaupun penguatkuasaan dilakukan oleh agensi terlibat seperti APMM dan Polis Marin, namun isu kekurangan aset-aset untuk melaksanakan rondaan dan operasi masih membayangi.

 

Aset-aset ini tidak terhad kepada bot dan kapal peronda tetapi juga keperluan terkini seperti sistem komunikasi, radar pengawasan maritim dan aset udara termasuk dron.

 

Ini semua memerlukan perbelanjaan yang setimpal untuk membiayai kos pembelian tersebut yang penggunaannya adalah bersifat jangka panjang.

 

Masalah nelayan asing menceroboh dan mengaut hasil laut bernilai akan terus berlaku selagi penguatkuasaan dan aset menjaga perairan negara tidak seimbang.

 

Kertas Putih Pertahanan yang diterbitkan pada tahun 2019 telah meletakkan kegiatan perikanan haram antara ancaman keselamatan maritim kepada negara.

 

Nelayan

 

Dokumen strategik tersebut menyatakan dianggarkan sebanyak 980 ribu tan hasil laut negara dirompak dengan kerugian sebanyak RM6 bilion setiap tahun.

 

Justeru, angka ini lebih besar berbanding apa yang dinyatakan oleh KPKM.

 

Ini kerana pencerobohan di perairan dan sempadan negara merupakan isu kedaulatan negara yang perlu ditangani oleh semua pihak

 

Bekas Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som pernah mendedahkan, nelayan asing berani dan agresif bagi memastikan mereka tidak ditahan serta hasil tangkapan tidak dirampas.

 

Antara tindakan nelayan asing ialah menyimbah minyak pada dek bot untuk membuatkan anggota operasi jatuh, membaling molotov cocktail dan besi bertujuan melengahkan operasi.

 

Nelayan
Polis Marin memerlukan kapal induk seperti ini untuk memperkasa operasi dan rondaan di laut.

 

Nelayan

 

Nelayan asing juga memiliki kelengkapan alat komunikasi di darat untuk menyalurkan maklumat kepada mereka.

 

Sekiranya kita membuat matematik ringkas, kerajaan hanya perlu memperuntukkan 10 peratus daripada anggaran kerugian RM6 bilion akibat rompakan hasil laut nelayan asing bagi pembelian aset-aset pasukan keselamatan.

 

Ini jumlah yang perlu kerajaan tanggung sekiranya benar-benar serius memerangi pencerobohan nelayan asing.

 

Bermakna, RM600,000 setahun boleh diperuntukkan khusus untuk memerangi pencerobohan nelayan asing.

 

Jika jumlah ini terlalu besar dan perlu dikecilkan separuh, jumlah RM300,000 setahun untuk perolehan aset masih memadai.

 

Nelayan
Aset sedia ada APMM perlu ditambah bagi membolehkan agensi itu melakukan penguatkuasaan termasuk aktiviti pencerobohan nelayan asing.

 

Nelayan
Penggunaan dron penting dalam operasi pemantauan di laut.

 

Dengan jumlah ini banyak yang boleh dibelanjakan untuk membeli kelengkapan dan aset-aset sama ada untuk APMM, Polis Marin atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Sebagai contoh, kos pembelian 13 buah bot pemintas laju FIC TLDM bernilai RM120 juta.

 

Sembilan tahun lalu kerajaan membelanjakan kira-kira RM400 juta untuk membeli enam buah kapal peronda baharu APMM iaitu kelas Bagan Datuk yang telah pun beroperasi.

 

Kapal sepanjang 45 meter (m), lebar 7.7m serta berat 297 tan ini boleh belayar sehingga 2,000 batu nautika tanpa perlu membuat proses ulang bekal.

 

Nelayan

 

Selain kapal peronda, Polis Marin dan APMM memerlukan kapal induk iaitu kapal besar yang juga boleh membuat tugas penguatkuasaan dan berada di kawasan perairan negara lebih lama.

 

Ini membolehkan bot dan kapal-kapal kecil yang membuat tugas meronda mengambil bekalan makanan atau minyak di kapal induk tanpa perlu kembali ke pangkalan.

 

Kecuali Polis Marin, perolehan kapal induk untuk APMM masih ditangguhkan atas sebab kewangan.

 

Dengan pembinaan dua kapal ronda pesisir (OPV) yang masih tertangguh, kerajaan wajar memutuskan pembelian kapal induk APMM untuk ditempatkan di kawasan kritikal pencerobohan nelayan asing seperti perairan Pantai Timur. - DagangNews.com