Kerajaan jangka kutip hasil tambahan RM3 bilion daripada SST 8% - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan jangka kutip hasil tambahan RM3 bilion daripada SST 8% - PM Anwar

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menjangkakan dapat mengutip hasil RM3 bilion susulan peluasan skop dan kadar baharu cukai perkhidmatan 8%.

 

Menurut Perdana Menteri, kenaikan kadar cukai perkhidmatan lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan yang kurang melibatkan rakyat secara langsung.

 

Justeru katanya, skop kenaan cukai perkhidmatan adalah kecil iaitu ke atas 41% dan banyak pengecualian diberikan dengan perubahan kepada 8% tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas.

 

"Kebimbangan kita ialah impak inflasi. Kita tidak nafikan ada juga kesan tetapi setakat ini mengikut Jabatan Statistik, kesannya adalah sekitar 0.2% (mata peratusan)," katanya.  

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullan (BN-Paya Besar) pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Mohd Shahar bertanya kutipan hasil tambahan daripada perubahan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan kesan kepada kos sara hidup rakyat.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi dijangka terus meningkat akibat cukai perkhidmatan, rasionalisasi subsidi diesel - RHB Investment

 

Sementara itu, Anwar berkata, cukai perkhidmatan perbelanjaan bagi makanan, minuman dan telekomunikasi tidak dinaikkan, kekal sebanyak 6%.

 

Kata Perdana Menteri, perbelanjaan utiliti seperti petrol pula kekal tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

 

"Ini harus jelas kerana terdapat banyak kekeliruan," jelasnya yang memaklumkan cukai keuntungan modal (CGT) memberikan hasil tambahan RM800 juta kepada kerajaan.

 

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar yang menyifatkan jumlah tambahan hasil RM3 bilion itu sebagai kecil dan perlu melihat kepada menambahkan hasil bukan cukai, Anwar berkata, ini memang dilakukan antaranya melalui transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

 

Katanya, pendapatan pelaburan mewakili 65% daripada hasil bukan cukai pada 2023 antaranya seperti dividen Petronas.

 

"Kita akan pastikan ada peningkatan pelaburan domestik dengan harapnya hasil bukan cukai juga dapat ditingkatkan," ujarnya.- DagangNews.com