Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengemukakan lima sebab pengangguhan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, sebab pertama pembentangan tersebut ditangguh adalah kerana penyusunan semula kementerian di peringkat kerajaan Perikatan Nasional yang baru ditubuhkan pada Mac 2020.
"Perdana Menteri baharu, Menteri pun ada yang baharu, beberapa kementerian telah disusun semula termasuk beberapa dasar dan pendekatan pengurusan ekonomi yang perlu dikaji semula.
"Kedua, andaian yang dibuat sebelum COVID-19 mengenai beberapa petunjuk penting ekonomi perlu dilihat semula termasuk kadar pertumbuhan ekonomi dunia yang dahulunya dianggarkan positif 3.5% dan sekarang dijangka menguncup sebanyak 4.9% pada 2020, perdagangan dunia, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia, harga minyak mentah serta kadar pengangguran," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH- Port Dickson) di Dewan Rakyat hari ini.
Penjelasan tersebut diberikan selepas Anwar meminta beliau menyatakan sebab-sebab pembentangan RMK-12 ditangguhkan dari bulan Ogos hingga ke tahun hadapan.
Jelas Mustapa lagi, sebab ketiga adalah pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi dunia dan ekonomi Malaysia perlu diambil kira dalam menggubal dasar jangka pendek dan jangka panjang.
"Keempat, perubahan landskap ekonomi Malaysia dan global akibat wabak COVID-19. Umpamanya peranan ekonomi digital yang semakin penting. Industri pelancongan dan PKS akan mengambil masa sebelum mengalami perubahan termasuk sekuriti makanan yang perlu diberi lebih perhatian.
"Dan kelima, kedudukan fiskal negara tahun ini adalah mencabar. Daripada kadar defisit sebanyak 3.2% yang dijangkakan sebelum ini, ia dijangka meningkat kepada 5.8% hingga 6% pada tahun 2020," jelas beliau lagi.
Dalam jawapan yang sama, beliau menegaskan, RMK-12 masih berteraskan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) meskipun pembentangan tersebut ditunda.
"Jika RMK-12 dibentangkan pada esok lusa, sudah pasti beberapa andaian akan tersasar dan tidak realistik.
"Sebenarnya bukan Malaysia sahaja menghadapi cabaran ini. Seluruh dunia menghadapinya termasuk negara-negara maju," tegas beliau. - DagangNews.com