KUALA LUMPUR 15 Sept - Kerajaan komited memastikan dasar kerajaan mengutamakan keperluan untuk memelihara kekayaan biodiversiti negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada masa sama, kepesatan pembangunan di negara ini juga akan dipastikan mesra alam bagi manfaat generasi akan datang.
"Ini kerana pembangunan yang inklusif dan mampan adalah tulang belakang kepada pertumbuhan Malaysia.
"Ia di mana tenaga boleh diperbaharui, ekonomi berpaksikan rakyat, teknologi hijau dan mitigasi perubahan iklim menjadi antara pemacu pemerkasaan ekonomi," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai, di sini, malam tadi.
Hadir sama, antaranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Perdana Menteri berkata, melalui penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai itu, negara berjaya mencapai potensi pulangan perdagangan dan pelaburan berjumlah RM77.25 bilion, sekali gus melepasi sasaran itu sebanyak tujuh kali ganda.
Beliau berkata, kejayaan itu diraih melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) atau Perjanjian Perkongsian dan Surat Niat membabitkan syarikat serta pihak luar termasuk dari Amerika Syarikat, China, Emiriah Arab Bersatu, India, United Kingdom dan Qatar.
"Selain itu, sejumlah 4,971 pertanyaan perniagaan turut direkodkan dan sebanyak 2,555 sesi padanan perniagaan secara fizikal dan maya berjaya diadakan.
"Pavilion Malaysia menerima sejumlah 1.2 juta pengunjung, malah disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau dan adalah antara tujuh pavilion paling digemari oleh media antarabangsa," katanya.
Ismail Sabri berkata, pihaknya yakin impak penyertaan di Ekspo 2020 Dubai akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan pembentukan negara pada masa hadapan.
Katanya, ia boleh direalisasikan apabila kerjasama perdagangan yang diperoleh termasuk rumah pintar hijau dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian dan tenaga bersih bagi penyelesaian masa depan.
"Dedikasi yang tinggi dan kerjasama erat melalui pendekatan kerajaan seluruhnya menjadikan Pavilion Malaysia satu platform yang berkesan bagi perkongsian idea serta berjaya mengetengahkan potensi negara untuk menerajui agenda kelestarian global.
"Pavilion Malaysia menjadi lambang kejayaan Keluarga Malaysia apabila nilainya diterjemahkan kepada pelan tindakan yang kukuh serta sikap bersatu-padu dalam mencapai keharmonian, kemajuan, kemampanan dan kestabilan," katanya. - DagangNews.com