Kerajaan luluskan RM12.9 bilion subsidi upah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan luluskan RM12.9 bilion subsidi upah

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan telah meluluskan sehingga RM12.875 bilion bagi program subsidi upah (PSU) setakat 23 April di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

 

Jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding minggu lepas.

 

“Bagi PSU 2.0, setakat 23 April, sejumlah RM1.168 bilion telah disalurkan kepada 73,567 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 635,748 pekerja. 

 

Zafrul Abdul Aziz
TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-52, secara maya hari ini.

 

“Ini juga menunjukkan peningkatan berbanding minggu lepas,” kata Tengku Zafrul ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-52 secara langsung di Facebook miliknya hari ini.

 

Sementara itu, di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran pula, seramai 143,004 peserta telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan setakat 23 April. 

 

Ujar beliau lanjut, senarai kursus-kursus yang mendapat permintaan boleh dilihat melalui pautan Kementerian Kewangan. 

 

“Selain itu, pemohon juga boleh layari laman web agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan. 

 

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan terutamanya golongan belia, anda semua dijemput menyertai kursus-kursus ini,” katanya lagi. 

 

Dalam pada itu, berhubung Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM883 juta menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada 900,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro. - DagangNews.com