Kerajaan luluskan RM13 bilion subsidi upah - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kerajaan luluskan RM13 bilion subsidi upah - Tengku Zafrul

Gambar Facebook Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 April - Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM12.872 bilion bagi permohonan program subsidi upah (PSU) setakat 16 April lalu. 

 

Dalam pada itu, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

 

Jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, PSU 2.0 pula menyaksikan sejumlah RM1.148 bilion telah disalurkan kepada 73,210 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 631,801 pekerja.

 

“Setakat 16 April, seramai 132,403 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan. Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

 

“Setakat 16 April, seramai 143,004 peserta telah diluluskan, berbanding 137,126 minggu sebelumnya, untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan. Senarai kursus-kursus yang mendapat permintaan boleh dilihat melalui pautan Kementerian Kewangan. 

 

“Selain itu, pemohon juga boleh layari laman web agensi-agensi kerajaan seperti yang dimaklumkan di dalam laporan bertulis, untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan. Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan terutamanya golongan belia, anda semua dijemput menyertai kursus-kursus ini,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-51 hari ini. - DagangNews.com