Kerajaan Malaysia, Singapura lancar VTL bermula Isnin ini | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Malaysia, Singapura lancar VTL bermula Isnin ini

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

KUALA LUMPUR 24 Nov - Malaysia dan Singapura akan membuka Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bermula Isnin ini bagi memudahkan rakyat dari kedua-dua negara menjalankan urusan mereka.  

 

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara. 

 

Selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang telah 
terpisah dengan keluarga akibat pandemik COVID-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

 

Kata kenyataan itu, pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

 

Bagaimanapun mereka yang layak adalah tertakluk kepada ujian COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing. 

 

"Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

 

pmo

 

"Pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura," kata kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu, VTL-Land akan dihadkan kepada bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat pada masa akan datang.

 

pmo2

 

Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura.

 

"Kerajaan kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan dan kuota itu akan bertambah pada masa akan datang," katanya.

 

pmo3

 

Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal. 

 

Pendaftaran ini adalah wajib sebelum sebarang pembelian tiket dibuat. 

 

Butiran tentang keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/.-Dagangnews.com