Kerajaan meterai MoU `kerjasama dwi-partisan' dengan Pakatan Harapan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan meterai MoU `kerjasama dwi-partisan' dengan Pakatan Harapan


Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PUTRAJAYA 13 Sept - Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan hari ini telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi :
I. Pemerkasaan Pelan COVID-19;
II. Transformasi Pentadbiran;
III. Pembaharuan Parlimen;
IV. Kebebasan Institusi Kehakiman;
V. Perjanjian Malaysia MA63; dan
VI. Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

 

Perdana Menteri berkata, memorandum ini membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

 

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng pada majlis memeterai MoU di Putrajaya, hari ini.

 

 

''Ia selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah, sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.

 

''Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pakatan Harapan diwakili oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim; Lim Guan Eng, Mohamad Sabu serta Anthony Loke dan dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, serta Tan Sri Annuar Musa, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Salahuddin Ayub.

 

Ismail Sabri berkata, semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

 

Beliau berkata, transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

 

''Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

 

''Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,'' kata beliau. - DagangNews.com