Kerajaan mungkin tunggu sehingga Omicron reda sebelum buka sempadan sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Kerajaan mungkin tunggu sehingga Omicron reda sebelum buka sempadan sepenuhnya

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - Kerajaan mungkin menangguhkan pembukaan semula sempadan negara sehingga varian Omicron memuncak di Malaysia sebelum kembali reda. 

 

Pada Selasa, Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.

 

Bagaimanapun MPN menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap berkata, jika keperluan kuarantin ini ditarik semula, ia dijangka melonjakkan trafik penumpang antarabangsa ke Malaysia yang hanya berkembang 6.2% pada Disember 2021 berbanding 57.7% bagi penumpang domestik daripada paras sebelum pandemik pada 2019.

 

Katanya, langkah Malaysia membenarkan warga asing memasuki negara ini hanya bermakna jika negara lain turut membuka semula sempadan mereka untuk kemasukan bebas kuarantin.

 

"Kerajaan sebelum ini sebenarnya pernah menyasarkan pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa Malaysia mulai 1 Januari 2022, tetapi akhirnya tidak berlaku disebabkan lonjakan Omicron.

 

"Sejak beberapa hari lalu, ia menyaksikan lonjakan kes baharu COVID-19 di Malaysia daripada 5,000 setiap hari pada Januari kepada lebih 17,000 kes setakat semalam dan Kementerian Kesihatan menjangkakan gelombang Omicron ini akan mencapai kemuncak pada separuh kedua Mac ini.

 

"Bagaimanapun, kami percaya persoalannya adalah bila, bukan jika, sempadan Malaysia dibuka semula," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Persetujuan itu dibuat selepas MPN mempertimbangkan kertas cadangan pembukaan sempadan negara oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

 

Ketika ini, negara jiran seperti Thailand membuka semula perjalanan bebas kuarantin mulai 1 Februai 2022, Filipina dari 10 Februari diiikuti Australia dari 21 Februari dan seterusnya.

 

mahb
MAHB akan mendapat manfaat daripada pembukaan sepenuhnya sempadan negara dengan ketibaan pelancong antarabangsa.

 

 

Menurut Yap, pembukaan semula sempadan Malaysia dapat membantu syarikat penerbangan kerana terdapat permintaan terpendam (pent-up) untuk perjalanan antarabangsa. 

 

Malah, katanya, ia juga dapat membantu perkhidmatan antarabangsa menyerap kapasiti pesawat memandangkan jarak penerbangan yang berpotensi lebih jauh.

 

"Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB) juga akan mendapat manfaat yang ketara daripada caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi penerbangan antarabangsa adalah lebih tinggi daripada penerbangan domestik.

 

"Sebagai contoh, MAHB memperoleh penanda aras PSC sebanyak RM11 bagi setiap penumpang domestik (RM8 hanya untuk penumpang domestik di klia2), tetapi penanda aras antarabangsa yang lebih tinggi PSC sebanyak RM80 (RM40 hanya untuk penumpang antarabangsa di klia2).

 

"Pada masa sama, MAHB juga boleh membuka semula jualan bebas cukai kepada ketibaan dan pelepasan antarabangsa," jelasnya.

 

Bagaimanapun, beliau mendapati beberapa jiran serantau yang besar dan berpenduduk ramai masih terus menyekat ketibaan pelancong seperti Indonesia, Vietnam, Jepun, Hong Kong, China dan India.

 

"Sehubungan itu, pemulihan yang kukuh dalam trafik penumpang antarabangsa MAHB ini bergantung pada sama ada dan bila negara-negara ini akan meliberalisasikan sekatan masuk mereka," tambahnya.

 

Yap berkata, unjuran trafik penumpang untuk MAHB menganggarkan trafik penumpang domestik di Malaysia akan kepada 70% daripada paras 2019 pada tahun ini (daripada 18% pada 2021).

 

Katanya, paras penumpang antarabangsanya juga dijangka meningkat kepada 25% daripada paras 2019 pada 2022 (daripada 2.6% pada tahun lalu).

 

"Dalam hal ini, kami berharap kadar pembukaan semula wilayah dapat dipercepatkan supaya ramalan kami ini dapat dinaikkan lagi," katanya.

 

CGS-CIMB pada masa sama turut mendapati, harga saham MAHB telah meningkat sebanyak 9% dalam tempoh beberapa hari ini selepas pengumuman cadangan MPN. 

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham MAHB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.95. 

 

Setakat 9.34 pagi ini, harga saham MAHB susut 3 sen atau 0.48% kepada RM6.23 dengan 27,600 saham diniagakan. - DagangNews.com