Kerajaan negeri perlu segerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah untuk projek Kerajaan Persekutuan - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan negeri perlu segerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah untuk projek Kerajaan Persekutuan - PM

Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138 yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 8 Mac - Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus diperkasa menerusi komitmen bersama berhubung perolehan tanah untuk pelaksanaan pembangunan kerajaan berkepentingan awam. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur yang berkualiti untuk kemudahan Keluarga Malaysia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. 

 

Beliau berkata, isu tanah menyebabkan kelewatan dan secara tidak langsung memberi implikasi kewangan kepada kerajaan. 

 

"Pada hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138. Mesyuarat secara bersemuka ini dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan. 

 

"Sebanyak lima kertas telah dibentangkan yang melibatkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan agenda kesejahteraan Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan. 


 
"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan memberi tumpuan kepada projek infrastruktur berimpak tinggi seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), landasan berkembar elektrik Gemas ke Johor Bahru, Projek Sistem Transit Rapid (RTS), Lebuh raya Pantai Barat (WCE), Central Spine Road dan Lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai. 

 

"Projek-projek ini akan beri limpahan ekonomi yang besar kepada negeri-negeri terbabit," katanya.

 

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat telah membuat keputusan bahawa kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan dan menyegerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah untuk projek Kerajaan Persekutuan. 

 

Beliau berkata, tanah projek yang melibatkan jajaran diluluskan secara perizaban manakala tapak pusat operasi, pejabat atau stesen diluluskan secara pemberimilikan. 

 

"Kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu halangan di atas tanah kerajaan negeri yang terlibat dengan projek-projek kerajaan berkepentingan awam," katanya. 

 

Katanya, pada masa sama, perbincangan lanjut akan diadakan berhubung kadar premium yang dikenakan untuk pemberimilikan dan cukai tanah oleh kerajaan negeri selaras dengan ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Tanah Negara. - DagangNews.com