Kerajaan pastikan jalan paling selamat bawa Malaysia keluar dari wabak | DagangNews Skip to main content

Kerajaan pastikan jalan paling selamat bawa Malaysia keluar dari wabak

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Penambahbaikan prosedur standard operasi (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuat demi kesejahteraan rakyat. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keutamaan kerajaan ketika ini untuk membawa Malaysia keluar dari belenggu COVID-19 dengan cara yang terbaik dan paling selamat. 

 

"Keputusan ini dibuat berdasarkan nasihat pakar serta fakta sains dan data yang diperoleh di peringkat antarabangsa dan domestik. 

 

"InsyaAllah, dengan peningkatan vaksinasi, beban terhadap kapasiti kesihatan awam akan dapat dikurangkan," katanya di laman Facebook hari ini. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan kepada penerima lengkap 2 dos vaksin COVID-19, antaranya kebenaran dine-in dan aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri di bawah fasa kedua dan ketiga Pelan Pemulihan Negara.

 

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac) manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

 

Ketika ini, 7 negeri masih berada di bawah fasa pertama PPN iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. 

 

Lagi 6 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang dan Perak masih di bawah fasa kedua manakala 3 negeri iaitu Perlis, Sarawak dan Labuan di bawah fasa ketiga. 

 

Minggu lalu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipengerusikan Perdana Menteri memutuskan untuk menggunakan indikator baharu iaitu bilangan kes kemasukan hospital baharu yang bergejala sebagai salah satu daripada indikator peralihan fasa PPN.

 

Keputusan ini dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan, serta pengalaman antarabangsa dan domestik, dengan penelitian bahawa risiko penularan COVID-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa. 

 

MPN juga memutuskan bahawa indikator tersebut hanya akan menggantikan indikator sedia ada (iaitu bilangan kes COVID-19 harian baharu) apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam Fasa 1 telah mencapai kadar sekurang- kurangnya 50% penduduk dewasa. - DagangNews.com