Kerajaan pastikan mekanisme pemberian subsidi petrol bersasar sesuai dan mudah - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kerajaan pastikan mekanisme pemberian subsidi petrol bersasar sesuai dan mudah - Tengku Zafrul

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Kerajaan masih menguji mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar untuk memastikan sistem yang akan digunakan sesuai dan mudah untuk semua pihak termasuk di kawasan luar bandar.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mereka memerlukan masa antara tiga ke enam bulan untuk memastikan mekanisme itu benar-benar sedia untuk dilaksanakan sepenuhnya.

 

Beliau berkata, mekanisme itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan tidak berlakunya kenaikan inflasi mendadak atau menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

 

“Strategi kita adalah untuk memastikan pelaksanaan menggantikan subsidi secara pukal dengan kombinasi subsidi bersasar dan bantuan tunai dibuat secara berperingkat.

 

“Dengan kos subsidi yang semakin meningkat, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan bagi menampung subsidi.

 

“Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan awam,”  katanya dalam pembentangan Laporan Kewangan Rakyat Ke-104 melalui laman Facebooknya hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, perkara itu perlu dilaksanakan dalam usaha untuk membiayai sebahagian tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

 

“Oleh itu kementerian, jabatan dan agensi hendaklah menyusun semula peruntukan dan mencadangkan penjimatan peruntukan mengurus bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022,” katanya.

 

Mengenai usaha kerajaan untuk memelihara kelangsungan spesis terancam, katanya peruntukan sebanyak RM13 juta telah diperuntukkan di bawah Bajet 2022 bagi pemberian bantuan kos operasi zoo, usaha meningkatkan pembiakan harimau Malaya dan pelaksanaan Program Frozen Zoo.

 

Katanya kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui Geran Khas Yayasan Hasanah yang bertujuan untuk menyokong usaha-usaha badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan Perusahaan Sosial.

 

“Menariknya, antara projek yang dijalankan oleh Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia ialah melindungi hidupan liar seperti harimau. 

 

“Mereka akan melatih, melengkapkan dan menempatkan 118 orang asli sedia ada dan 10 orang baharu sebagai renjer hidupan liar untuk meronda kawasan hutan Perias-Balah di Gua Musang bagi mencegah pemburuan haram harimau dan memulakan pemantauan jangka panjang terhadap hidupan liar lain.

 

“Ini menggunakan petunjuk haiwan dan tinjauan perangkap kamera,” katanya. - DagangNews.com