Kerajaan pastikan pelaksanaan 5G berjalan mengikut seperti dirancang - Annuar Musa | DagangNews Skip to main content

Kerajaan pastikan pelaksanaan 5G berjalan mengikut seperti dirancang - Annuar Musa

SHAH ALAM 3 Sept - Kerajaan akan memastikan pelaksanaan 5G di Malaysia berjalan mengikut rancangan walaupun dua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengambil keputusan untuk tidak mengambil kepentingan dalam Digital Nasional Bhd. (DNB), demikian menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

 

Susulan penarikan dua syarikat tersebut, jelasnya, rundingan dengan empat lagi MNO akan diteruskan dan
dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi kerana akan membabitkan pengubahsuaian dalam dokumen perjanjian yang akan ditandatangani. 

 

"Dua MNO buat keputusan untuk tidak menyertai maka kita tidak memaksa (mereka), dan kita akan teruskan dengan yang setuju yang iaitu empat syarikat telco.

 

"Cuma ia sedikit menjejaskan proses menandatangani perjanjian kerana dalam dokumen kerajaan dan Kabinet memutuskan majoriti adalalah pihak swasta sedangkan empat syarikat tadi tidak cukup 50% (pegangan).

 

"Setiap syarikat juga perlu kembali kepada Lembaga Pengarah kerana mereka bagi kelulusan berdasarkan lebih 11% langganan, jadi kalau kita tawarkan lebih sampai 15 hingga 16 peratus mereka kena balik semua kepada Lembaga Pengarah, tak boleh jawab ya terus. Jadi kita terpaksa bagi masa," katanya.

 

 

Annuar Musa
Annuar Musa

 

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia@De Dagang seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Difahamkan, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd tidak bercadang untuk mengambil kepentingan dalam DNB. Hanya empat MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi.com Bhd, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih tetap dengan keputusan masing-masing untuk melanggan saham DNB.

 

Pada masa sama, menurut beliau, sebagaimana yang disebut Menteri Kewangan Tengku, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tawaran turut terbuka kepada pemain industri lain yang berminat memperoleh kepentingan di DNB.

 

"Yang penting ialah pelaksanaan 5G mesti kekal lancar bagi memenuhi keutamaan untuk mencapai 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024.

 

Annuar berkata, jika perkara tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini, syarikat-syarikat yang terkait boleh menawarkan perkhidmatan 5G bagi kawasan yang telah siap prasarananya tanpa perlu bertangguh. 

 

"Kementerian kekalkan garis masa perancangan sedia ada iaitu pelaksanaan seboleh-bolehnya pada bulan ini, walaupun kemungkinan rundingan kalau sampai akhir September, maka awal Oktober kena ada.

 

“Saya tidak mahu bertangguh dan tidak mahu kerana satu dua syarikat mengubah pendirian rancangan kerajaan melaksanakan 5G tergendala, jadi kita perlu berjalan dengan lancar," katanya. - DagangNews.com