Kerajaan perkenal subsidi bersasar secara berfasa bermula tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perkenal subsidi bersasar secara berfasa bermula tahun hadapan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan tamatkan pemberian subsidi kepada golongan kaya menerusi pengenalan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun hadapan.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan sebelum ini memperuntukkan RM64 bilion bagi perbelanjaan subsidi dan bantuan tetapi keperluan pada tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion.

 

Beliau berkata, peningkatan itu ini adalah akibat langkah kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi untuk rakyat walaupun berdepan dengan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia. 

 

"Sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup, tetapi hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula telah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara. Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih  3.5 juta orang asing," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.

 

Katanya, kerajaan juga bersetuju untuk mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri selain pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.

 

madani

 

Jelas beliau, pada 2022, trend menunjukkan, 10% pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50% subsidi, sedangkan 50% pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10% subsidi yang diberikan.

 

"Maka sebab itu, bermula tahun ini, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10% penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90% pengguna.

 

“Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion," katanya.

 

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.

 

Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan. 

 

"Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat," katanya. - DagangNews.com