Kerajaan Perpaduan PM Anwar diyakini kekal sokong syarikat bumiputera tersenarai awam – Hanifah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Perpaduan PM Anwar diyakini kekal sokong syarikat bumiputera tersenarai awam – Hanifah

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Noordin - Gambar PPZ

KUALA LUMPUR 20 April - Datasonic Group Bhd menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM2 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2022.

 

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Noordin berkata, sama ada syarikat itu dapat mengekalkan atau meningkatkan nilai zakat pada tahun hadapan, terpulang kepada perkembangan perniagaan.

 

“Sebagai syarikat bumiputera yang berkeupayaan tinggi, kami dilibatkan di dalam banyak projek kerajaan khususnya di dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan setiap Perdana Menteri membantu menambah kepada perniagaan kita.

 

“Kami mula terlibat dalam projek MyKad sewaktu Tun Dr Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri. Penglibatan kami di KDN telah bertambah dari semasa ke semasa demi keazaman kami untuk menjadi peneraju dalam bidang percetakan keselamatan.

 

"Kami telah memenangi tender demi tender atas kebolehan kami sehingga kami dianggap sebagai rakan KDN dan terlibat dalam projek pasport yang memenangi anugerah antarabangsa dan projek autogate yang mempunyai mesin pengimbas muka yang setanding kalau tidak lebih baik dari jenama antarabangsa yang tersohor.

 

"Datuk Seri Najib pula telah membantu kami untuk kami disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia di bawah Skim Jejak Jaya ke-Bursa (SJJB), manakala di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri kami dilibatkan pula dalam projek i-Kad untuk pekerja asing.

 

“Semua projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan berjaya dengan Datasonic membuat pelaburan besar sebanyak RM350 juta demi memastikan dokumen kerajaan ini selamat, kukuh dan tersedia tepat waktu.

 

“Oleh itu, kami yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menyokong kami sebagai syarikat bumiputera tersenarai awam yang berwibawa,” kata beliau.

 

 

datasonic
Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman menyaksikan penyerahan bayaran zakat oleh Pengerusi DataSonic Group Berhad, Datuk Hanifah Noordin (kiri) kepada Pengurus Besar Operasi Luar PPZ, Fahmi Ismail (kanan) pada majlis serahan zakat DataSonic di Ibu Pejabat PPZ MAWIP.

 

volatiliti
Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman

 

 

Pada Selasa lalu, Datasonic diwakili Hanifah menyerahkan zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman untuk diagihkan kepada golongan asnaf serta penerima zakat lain yang diiktiraf.

 

Hanifah berkata, selaras dengan aspirasi untuk menjadi yang terbaik di dalam industri, pihaknya juga amat menitikberatkan hal-hal berkaitan tentang kebajikan, sama ada kepada warga kerja mereka, masyarakat dan juga alam sekitar. 

 

Katanya, pelbagai inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) telah dilaksanakan Datasonic untuk manfaat masyarakat di luar sana termasuk warga kerjanya.

 

"Bagi pihak Datasonic, kami amat berharap semoga dengan pengagihan zakat ini, sedikit sebanyak akan dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan zakat perniagaan tersebut di Wisma PPZ. - DagangNews.com