Kerajaan peruntuk RM493 juta kekalkan kadar rebat elektrik pengguna di Semenanjung | DagangNews Skip to main content

Kerajaan peruntuk RM493 juta kekalkan kadar rebat elektrik pengguna di Semenanjung

PUTRAJAYA 28 Jun - Kerajaan telah bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj yang melibatkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

 

Langkah itu diambil bagi membantu rakyat yang berdepan cabaran dan kesukaran berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan media di sini.

 

"Oleh itu, semua pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

 

"Pemberian rebat tambahan ini membolehkan semua pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak 5% bagi tempoh tersebut," kata beliau.

 

Dr Shamsul Anuar berkata, selain pembiayaan rebat tambahan ini, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna-pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

 

"Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri. Justeru apa yang saya umumkan hari ini berbeza berbanding diskaun. Namun penting kerana Kerajaan telah bersetuju membelanjakan RM493 juta agar tidak berlaku kenaikan tarif elektrik, dan mengekalkan sebagaimana sekarang," ujar beliau.

 

Menurut beliau, golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40. Sehingga Mei 2021, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak ialah 282,182.

 

Walau bagaimanapun kata beliau, hanya 113,745 iaitu 40.31% daripada KIR yang layak telah  mengemas kini nombor akaun bil elektrik mereka.

 

"Oleh itu, saya menyeru agar mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan," katanya.

 

Dr Shamsul Anuar
Dr Shamsul Anuar Nasarah

 

Langkah itu diambil di sebalik pelaksanaan mekanisme penetapan tarif elektrik di Semenanjung yang telah dimulakan sejak 2014, di mana pelarasan kos-kos penjanaan elektrik perlu dilaksanakan setiap 6 bulan melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

 

Bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021, kos ICPT yang perlu diselaraskan adalah berjumlah RM638.98 juta. Ini bermakna bahawa kadar rebat elektrik yang boleh dilepaskan kepada pengguna ialah sebanyak 1.13 sen/kWj berbanding kadar rebat bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu 2.00 sen/kWj. Peningkatan kos ICPT berlaku berikutan peningkatan kos pembekalan gas dan arang batu bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

 

Sementara itu, menurut kementerian itu lagi, bagi pengguna-pengguna di Kulim High Technology Park (KHTP) yang mendapat bekalan elektrik daripada NUR Power Sdn. Bhd., Kerajaan juga bersetuju untuk memberi rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj kepada pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

 

Ini merupakan kali pertama pengguna bukan domestik di KHTP menikmati rebat elektrik sejak mekanisme penetapan tarif Incentive-Based Regulations dilaksanakan pada tahun 2017.

 

Pemberian rebat ini dilaksanakan berikutan berlakunya penurunan harga bahan api gas dan bekalan elektrik pukal TNB pada separuh tahun pertama 2021 serta penjimatan daripada pelarasan kos sebenar bahan api bagi tempoh Julai hingga Disember 2020. - DagangNews.com