Kerajaan rangka dasar, strategi perundangan banteras budaya Ali Baba - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan rangka dasar, strategi perundangan banteras budaya Ali Baba - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Kerajaan sedang dalam proses merangka dasar serta strategi perundangan terbaik untuk membanteras budaya Ali Baba (rent-seeking) yang memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini. 

 

"Anggaran kerugian mencecah sekitar 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran. 

 

"Oleh yang demikian, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan kementerian dan agensi berkaitan akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking sebelum membentangkannya kepada Jemaah Menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas membincangkan perkara itu dalam semasa Majis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

 

Perdana Menteri berkata, mesyuarat MTEN turut bersetuju untuk mempercepat inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara menjadi peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

 

Jelasnya, projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran.

 

PM
Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi NEgara (MTEN), semalam.

 

Perdana Menteri berkata, ia juga bagi mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

 

Beliau memberitahu, Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan 10 projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

 

Katanya, sejumlah 10 projek rintis itu merangkumi jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan.

 

“Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai disusuli peluncuran Fasa Kedua pada Ogos 2023.

 

“Melangkah ke hadapan, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.

 

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya,” katanya. - DagangNews.com