Kerajaan salur RM152.5 juta dalam Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak | DagangNews Skip to main content

Kerajaan salur RM152.5 juta dalam Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak

Rumah Panjang Sarawak. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM152.5 juta kepada Kerajaan Sarawak untuk membiayai Program Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak.

 

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, bagi tahun 2020, Kementerian Kewangan telah menyalurkan
peruntukan berjumlah RM10 juta untuk program sama.

 

"Pada tahun 2020, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada Kerajaan Negeri Sarawak
bagi tujuan membantu membiayai Program Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak.

 

Mohd. Shahar Abdullah
Mohd. Shahar Abdullah

 

"Sehingga kini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM152.5 juta kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah program ini dan sebanyak 8,915 pintu rumah panjang telah berjaya dibina dan dibaik pulih," jelas beliau ketika menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Robert Lawson Chuat meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah peruntukan yang telah diluluskan untuk Skim Pinjaman Rumah Panjang dari Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak bagi tahun 2020.

 

Robert Lawson Chuat
Robert Lawson Chuat 

 

Selain itu, Robert Lawson Chuat turut meminta Kementerian Kewangan menjelaskan samada kerajaan bercadang untuk menambahkan dana tersebut memandangkan pertambahan permintaan daripada masyarakat.

 

Mengulas berkaitan cadangan penambahan dana tersebut, Mohd. Shahar memberitahu, perkara tersebut adalah bergantung kepada kemampuan dan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

 

"Namun begitu, Kerajaan Persekutuan menyambut baik sekiranya kerajaan negeri (Sarawak) turut sama membantu menyumbang dana bagi program skim pinjaman ini memandangkan ia merupakan salah satu projek infrastruktur dan pembangunan sosio ekonomi yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Negeri Sarawak," jelasnya lagi. - DagangNews.com