Kerajaan sasar 25,000 usahawan TEKUN mencarum Perkeso | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sasar 25,000 usahawan TEKUN mencarum Perkeso

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Seramai 25,000 usahawan TEKUN Nasional disasar mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), menerusi Kempen Mencarum Perkeso Usahawan TEKUN. 

 

Kempen yang dilancarkan hari ini merupakan hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Perkeso dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi TEKUN Nasional.

 

Ia bermatlamat meningkatkan kesedaran golongan usahawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menggalakkan mereka mencarum dengan Perkeso.

 

Kempen ini juga merupakan satu inisiatif proaktif untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial semakin diperluaskan kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), khususnya dalam kalangan usahawan di Malaysia. 

 

Bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar dengan Perkeso, TEKUN Nasional akan menawarkan perkhidmatan pembiayaan caruman SKSPS menerusi skim pembiayaan yang dibuat oleh usahawan TEKUN.

 

Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar berkata, sehingga kini seramai 16,830 usahawan TEKUN telah mencarum di bawah SKSPS.

 

Beliau berkata, kempen tersebut mendokong matlamat untuk menarik lebih ramai usahawan TEKUN untuk mencarum SKSPS.

 

“Saya juga berharap TEKUN Nasional dapat memikir dan mempertimbangkan bagaimana semua usahawan TEKUN dapat diwajibkan untuk mencarum dengan Perkeso sepanjang tempoh pembiayaan, pada masa akan datang”, katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam perkembangan sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pula berkata, kementeriannya menyambut baik dan menghargai sokongan MEDAC menerusi TEKUN Nasional untuk mendaftar dan mencarumkan para usahawan mereka seperti pengusaha, penjaja dan peniaga kecil dengan SKSPS Perkeso. 

 

"Saya juga yakin bahawa usaha untuk memberikan perlindungan sosial kepada mereka ini bukan sahaja akan disambut baik oleh para usahawan TEKUN, malah turut akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka dan insan yang mereka sayangi sentiasa terjaga serta terpelihara," katanya.

 

Berdasarkan statistik PERKESO sehingga 18 Februari 2022, seramai 360,469 atau kira-kira 15% OBS di seluruh negara telah mencarum dengan SKSPS, daripada jumlah keseluruhan OBS di seluruh Malaysia iaitu kira-kira 2.38 juta. 

 

Sementara itu, lebih RM6 juta telah dibayar oleh PERKESO kepada seramai 2,142 penerima faedah dalam kalangan OBS. Jumlah tersebut termasuk seramai 169 penerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang diterima oleh waris OBS bagi kes yang melibatkan kematian semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

 

Sejak 1 Jun 2017, PERKESO menyediakan SKSPS untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan. 

 

Antara manfaat perlindungan keselamatan sosial yang disediakan dalam SKSPS adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pinjaman Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional. - DagangNews.com