Kerajaan sedia peruntukan RM2.47 bilion bagi projek perumahan rakyat pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sedia peruntukan RM2.47 bilion bagi projek perumahan rakyat pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Sejumlah RM2.47 bilion disediakan bagi melaksanakan projek perumahan rakyat bagi tahun hadapan.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana jaminan khas berjumlah RM1 bilion bagi menggalakkan pemaju yang berwibawa memulihkan projek terbengkalai yang telah dikenal pasti.

 

Selain itu beliau berkata, sejumlah RM546 juta disediakan bagi meneruskan 36 Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk satu projek baharu di Kluang, Johor dan sejumlah 15 PPR dijangka siap tahun hadapan bagi memberi manfaat 5,100 bakal penghuni baharu.

 

"Sejumlah 14 Program Rumah Mesra Rakyat diteruskan bagi membina 3,500 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan RM460 juta bagi menyediakan bantuan kepada kira-kira 65,000 rakyat susah di desa bagi membina baharu atau membaik pulih rumah yang telah daif.

 

madani

 

Katanya, RM100 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam dan swasta seluruh negara. 

 

"Ini termasuk kerja-kerja membaiki tangki air, bumbung, dan sistem pendawaian serta memasang kamera litar tertutup," katanya.

 

Sementara itu, Anwar berkata,pada tahun ini kerajaan telah menggerakkan pasukan khas di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk  menyelesaikan isu projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai yang menghimpit pembeli rumah. 

 

Setakat Ogos, sejumlah 256 projek sakit atau lebih 28,000 unit rumah telah dipulihkan melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM23.37 bilion. - DagangNews.com