Kerajaan sediakan Bantuan Banjir Malaysia bernilai RM1.4 bilion - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sediakan Bantuan Banjir Malaysia bernilai RM1.4 bilion - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Kerajaan akan memastikan segala bentuk bantuan serta kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan secara komprehensif dan menyeluruh menerusi Bantuan Banjir Malaysia dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) antaranya RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) atau KIR yang terjejas akibat banjir.

 

Beliau berkata, bantuan itu juga disalurkan kepada KIR yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain RM10,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia dan kesmeua mangsa boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

 

"Menyedari mangsa-mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaannegeri telah membuat bayaran BWI yang telah bermula pada 27 Disember yang lalu dan dijangka selesai minggu ini. Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

 

"Saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.Setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI.

 

"Pihak NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri. Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, seramai 25 orang waris telahpun menerima bantuan RM10,000 seperti diumumkan," katanya dalam satu kenyataan.

 

pm

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi kerja-kerja pasca banjir selain menambah peruntukan sebanyak RM50 juta khusus buat Selangor dan Pahang bagi tujuan melaksanakan kerja-kerja pembaikan seta pembersihan rumah penduduk juga kemudahan awam yang rosak.

 

Perdana Menteri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor yang telah dilantik sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terkesan dengan bencana banjir. 

 

Dalam usaha mempercepatkan membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, beliau berkata,  KPKT telah menambah bilangan sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan-kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini. 

 

pm

 

"Dengan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.

 

"Setakat 28 Disember 2021, sebanyak 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT," katanya.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta telah menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

 

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia juga dengan ketersediaan dana RM500 juta telah menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana atau DRF melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha PKS dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro. 

 

"Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun. 

 

"Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat 28 Disember 2021, BSN telah menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan rebat 100% bil elektrik kepada pengguna domestik yang terkesan akibat banjir bagi Disember 2021. 

 

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyediakan pemberian baucar kepada mangsa-mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang telah rosak.

 

"Setiap KIR yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilaiRM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli," katanya.

 

Dalam usaha meringankan bebanan mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi mereka, Perdana Menteri berkata beberpa inisiatif telah dilaksanakan oleh syarikat pengeluar kenderaan termasuk penyediaan khidmat tunda kereta dan kos upah percuma kepada pengguna Perodua selain pemberian diskaun sebanyak 50% ke atas alat ganti. 

 

Beliau berkata, Proton juga bersetuju memberikan diskaun 50% untuk alat ganti bagi kebanyakan model kereta serta menwarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat-pusat servis mereka yang berdaftar.

 

"Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua telah bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25% atau lebih, ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar. 

 

"Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun. 

 

"Baucar sebanyak RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah mengalami kerosakan total," katanya. - DagangNews.com