Kerajaan sediakan RM40 bilion bagi jayakan Program Semarak Niaga - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sediakan RM40 bilion bagi jayakan Program Semarak Niaga - Perdana Menteri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM40 bilion menerusi Bajet 2022 bagi menjayakan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga) dalam usaha membantu perniagaan untuk bangkit semula dan daya saing khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) selepas terkesan akibat pandemik COVID-19. 

 

Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi Pinjaman Kredit Mikro berjumlah RM1.8 bilion; Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilion; Pinjaman Mudah bagi PKS berjumlah RM14.2 bilion selain jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22 bilion.

 

"Semua tahap perniagaan bermula dari mikro hingga ke yang besar dan tersenarai di Bursa Malaysia, semuanya boleh memanfaatkan langkah-langkah dalam inisiatif Semarak Niaga dari Bajet 2022. 

 

"Malah, khusus untuk PKS mikro, sebelum ini Kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana sebesar RM1.8 bilion bagi pembiayaan, yang sesetengahnya siap ada ciri moratorium sehingga 12 bulan," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, matlamat utama Semarak Niaga adalah untuk memastikan momentum pemulihan yang dikecapi pada suku keempat 2021 dapat diteruskan termasuk merancakkan dan memberi nafas baharu kepada sektor yang paling terkesan seperti pelancongan, peruncitan, dan hiburan. 

 

Beliau berkata,  matlamat berikutnya adalah membina ketahanan kewangan perniagaan, dan ini termasuk membantu mereka dari segi meningkatkan kemahiran pekerja. 

 

pm

 

"Matlamat terakhir adalah untuk memangkin pembaharuan bagi menyokong usaha negara ke arah sebuah ekonomi yang lestari dan diperkasa oleh Transformasi Digital dan IR4.0. 

 

BACA JUGA: Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia bantu bina semula daya saing PMKS - PM
 

"Bagi menguasai digital, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah sokongan termasuklah seperti geran pendigitalan PKS dan geran padanan automasi pintar bagi mempercepatkan transformasi digital; selain membantu ekonomi gig dan start-up untuk bertapak dalam dunia perniagaan," katanya.

 

beskal

 

Perdana Menteri berkata, menerusi Program Semarak Niaga itu, kerajaan dapat memastikan negara berada dalam landasan pemulihan ekonomi yang kukuh. 

 

Katanya, kesan pandemik COVID-19 masih dirasai seluruh komuniti perniagaan dengan puluhan ribu perniagaan sebelum ini terpaksa gulung tikar dan sudah pasti mereka berdepan cabaran untuk memulakan semula perniagaan atau memastikan kelangsungan operasi, terutamanya jika ada tanggungan hutang yang banyak.

 

"Oleh itu, Semarak Niaga bukan sahaja menyokong perniagaan dari segi suntikan modal kerja atau pembiayaan, tetapi juga melalui suntikan berbentuk ekuiti (seperti membeli saham atau memegang ekuiti dalam syarikat) kepada perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

"Ini merupakan salah satu penyelesaian yang inovatif, dan tidak pernah diperkenalkan sebelum ini. kerajaan yakin usaha ini akan membantu komuniti usahawan untuk terus maju dan bangkit semula," katanya. - DagangNews.com