Kerajaan Selangor sediakan RM80 juta bagi 3 skim pembiayaan Yayasan Hijrah bantu usahawan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Selangor sediakan RM80 juta bagi 3 skim pembiayaan Yayasan Hijrah bantu usahawan

 

SHAH ALAM 27 Okt - Sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk tiga skim pembiayaan terbaharu Hijrah Selangor yang bermatlamat membantu usahawan di negeri ini memulih dan memulakan semula perniagaan akibat terkesan daripada pandemik COVID-19.

 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata skim pembiayaan meliputi Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim menawarkan jumlah pembiayaan yang bergantung kepada keperluan dan sektor yang diceburi oleh usahawan terbabit.

 

“Skim yang dikendalikan oleh Yayasan Hijrah Selangor ini dibuka bermula hari ini sehingga tahun hadapan untuk usahawan berumur 18 tahun dan ke atas,“ katanya kepada media selepas majlis pelancaran skim tersebut di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata Skim i-Lestari menawarkan modal tambahan  bermula RM51,000 hingga  RM100,000 kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan dan berusaha untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

 

Manakala Skim i-Agro ditawarkan kepada usahawan dalam sektor pertanian, penternakan dan akuakultur dengan modal tambahan bermula RM1,000 hingga RM5,000 bagi membantu usahawan dalam penyediaan hub bekalan makanan secukupnya khususnya untuk rakyat di Selangor.

 

Selain itu penawaran Skim i-Agro juga akan dapat menggalakkan generasi kedua petani terutamanya belia dan graduan yang menganggur untuk menceburi bidang
pertanian. 

 

Katanya, Skim i-Bermusim pula diperkenalkan kepada  usahawan yang memerlukan modal pusingan perniagaan yang menjalankan perniagaan bermusim seperti bazar Ramadan dan perayaan serta gerai buah-buahan bermusim. 

 

Wasiyyah
Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim ketika Majlis Pelancaran Skim Baharu Hijrah Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 27 Oktober 2021.

 

 

Amirudin berkata permohonan skim tersebut boleh dibuat di 20 cawangan Hijrah Selangor dan layari laman web www.hijrahselangor.com untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com