Kerajaan Selangor wajar gantung kelulusan projek baharu di kawasan sekitar Taman Sri Muda - Najib | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Selangor wajar gantung kelulusan projek baharu di kawasan sekitar Taman Sri Muda - Najib

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Kerajaan Selangor wajar menggantung sementara segala bentuk kelulusan baharu bagi projek pembangunan di Taman Sri Muda serta kawasan berhampiran sehingga siasatan terhadap tuduhan persatuan penduduk taman itu selesai dan langkah-langkah pencegahan dilaksanakan bagi mengelakkan berulangnya tragedi banjir 1995.

 

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan kepada persatuan penduduk Taman Sri Muda, sistem perparitan dan kawalan banjir besar mula dibangunkan selepas banjir besar 1995 tetapi kini ia tidak lagi mampu menampung limpahan air di kawasan berkenaan yang mempunyai jumlah penduduk seramai 50,000 orang.

 

Beliau berkata, keadaan banjir menjadi semakin parah pada 2019 apabila semakin banyak projek pembangunan dilaksanakan di sekitar Kota Kemuning dan mereka menggunakan sistem perparitan sedia ada di Taman Sri Muda untuk melencongkan hujan ke dalam sungai berbanding membuat sistem baharu.

 

Katanya penduduk taman itu sudah membuat aduan kepada kerajaan tempatan sejak itu.

 

"Ahli persatuan penduduk berkata mereka telah mengesan longkang yang menghala ke saluran pengairan dari Kemuning Utara, Kemuning Baru, Kota Kemuning dan kawasan hulu lain.

 

"Ini bermakna, sistem yang direka untuk Taman Sri Muda, kini terpaksa menerima banyak limpahan air dari kawasan sekitar yang jumlahnya kini bertambah kepada sekurang-kurangnya tiga kali ganda berbanding kemampuan sebenarnya.

 

bossku
Datuk Seri Najib Razak

 

"Lama-kelamaan Taman Sri Muda telah menjadi satu kolam tadahan yang besar di kawasan itu," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

 

Najib berkata, persatuan penduduk Taman Sri Muda menuduh bahawa pembangunan di kawasan-kawasan berhampiran dengan telah menumpang sistem perparitan dan kawalan banjir taman itu.

 

"Bekemungkinan besar projek pembangunan itu merangkumi Bandar Rimbayun dan tanah Canal City yang dijual kerajaan Selangor kepada pemaju pada tahun 2013 setelah mereka batalkan projek kawalan banjir Canal City dengan alasan projek tersebut tidak memberi manfaat," katanya yang juga bekas Perdana Menteri. - DagangNews.com