Kerajaan setuju laksana Program Dermasiswa TVET untuk pelajar B40 - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan setuju laksana Program Dermasiswa TVET untuk pelajar B40 - PM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SHAH ALAM 20 Jun - Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan motivasi dan galakan pelajar untuk memilih bidang TVET, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan tersebut khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tahun ini.

 

Beliau berkata, pengambilan pertama akan melibatkan 1,000 orang pelajar dan kerajaan menjangkakan program intu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan.

 

"Saya yakin program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET," katanya ketika berucap merasmikan Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

 

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari TVET Negara.

 

"Pemilihan tarikh 2 Jun sebagai Hari TVET Negara yang wajar disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET. Tarikh itu juga bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar, yang merupakan institusi penyedia TVET terawal negara sejak 1969," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, beliau ingin melihat sekurang-kurangnya 55% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Sehubungan itu katanya, aspek akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET harus ditambah baik, selain pendedahan perlu dilaksanakan seawal usia muda supaya anak-anak lebih celik tentang potensi laluan kerjaya TVET. 

 

"Kesedaran orang ramai terhadap pekerjaan sektor TVET yang memerlukan kemahiran spesifik dan menawarkan sumber pendapatan tinggi sudah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang disasarkan.

 

"Dalam usaha memperkasakan TVET, penjenamaan dan reputasinya perlu dipertingkatkan dan ini memerlukan usaha lebih jitu bagi mengukuhkannya secara holistik. Sehubungan itu, anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibu bapa, belia dan industri terhadap TVET," katanya.

 

Beliau berkata, terdapat banyak platform media sosial yang boleh dimanfaatkan secara optimum bagi mempromosikan TVET termasuk memaparkan kejayaan graduan dan alumni TVET, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan. 

 

"Saya juga menyeru pihak industri supaya menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka. 

 

"Saya percaya, langkah ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekali gus menjadikan TVET pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti mana negara maju yang lain," katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk intervensi bagi menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas untuk Keluarga Malaysia, termasuk mengadakan Program Penajaan Pendidikan.

 

"Secara umumnya, terdapat beberapa strategi penajaan pendidikan yang telah dilaksanakan seperti pinjaman pendidikan, pinjaman boleh ubah, dermasiswa, biasiswa dan bantuan kewangan.

 

"Dalam konteks program hari ini, keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, yang mana 80% penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma. 

 


Bagi tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 171,412 program TVET di peringkat Diploma dan Sarjana Muda telah ditawarkan," katanya. - DagangNews.com