Kerajaan setuju pertimbang bantuan geran kepada usahawan mikro, informal terjejas banjir - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan setuju pertimbang bantuan geran kepada usahawan mikro, informal terjejas banjir - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersetuju mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban ditanggung usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir, selain bantuan kewangan agensi-agensi kerajaan. 

 

Mesyuarat EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), termasuk peniaga informal.

 

Perdana Menteri berkata, bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir, kerajaan telah memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam. 

 

Jelasnya, dalam mesyuarat itu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM); Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM); Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM); Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkongsi impak akibat banjir. 

 

"Mereka turut mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula. 

 

"Mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ismail Sabri berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MEDAC, kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan-Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

 

"Lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran. InsyaAllah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini

 

 

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin. - DagangNews.com