Kerajaan siasat lambakan import dawai keluli dari China | DagangNews Skip to main content

Kerajaan siasat lambakan import dawai keluli dari China

 

 

KUALA LUMPUR 2 April - Kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan jika penentuan awal didapati afirmatif susulan petisyen daripada Southern PC Steel Sdn. Bhd., 1 Mac lalu. 

 

Langkah itu diambil bagi menghalang kemudaratan yang berterusan kepada industri tempatan.

 

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan. 

 

"Petisyen itu bagi memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas pengimportan dawai keluli berlembar bagi konkrit prategasan (dagangan subjek)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Southern PC Steel mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara tersebut. 

 

Ini mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

 

Ekoran itu, syarikat ini mendakwa lambakan import dari China telah meningkat dari segi jumlah kuantiti dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepadanya. 

 

Jelas MITI, kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas import dagangan subjek dari China.

 

Sehubungan itu, kementerian akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan antaranya, pengeluar domestik di Malaysia dan persatuan pengeluar yang berkaitan dan pengeluar atau pengeksport dagangan subjek di China yang dinamakandi dalam petisyen dan pengimport dagangan subjek yang dinamakan di dalam petisyen dan persatuan pengimport yang berkaitan.

 

Pihak berkepentingan yang lain boleh juga mendapatkan borang soal selidik tersebut tidak lewat daripada 15 April 2021 dengan menulis kepada MITI. 

 

"Pihak berkepentingan boleh memberi pandangan, menjawab soal selidik dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI sebelum 30 April 2021. 

 

"Sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta-fakta yang sedia ada," katanya. - DagangNews.com