KUALA LUMPUR 23 Julai - Kerajaan akan terus memberi perhatian dalam mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan dengan memperuntukkan RM124 juta kepada hampir 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas yang memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.
"BKM adalah bantuan tunai tertinggi dalam sejarah, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8.2 bilion.
"Sementara itu, kaedah menangani miskin tegar dengan kaedah baharu secara holistik membabitkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sedang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025," katanya ketika merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim dunia memberi kesan dan cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia.
Beliau berkata, kenaikan harga jagung bijirin dan baja serta kenaikan kos logistik menyebabkan peningkatan harga barangan yang menyaksikan kadar inflasi juga meningkat tinggi.
"Namun, Malaysia masih mengalami inflasi pada kadar terendah di Asia Tenggara, hasil usaha berterusan kerajaan menanganinya dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion.
"Kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia mengenai kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan, dengan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur dan RM4 bilion untuk minyak masak paket," katanya. - DagangNews.com